Ruhainies
Ruhainies

Kuala Lumpur: Selepas dihambat pelbagai kontroversi panas, pelakon, Ruhainies nampaknya 'membawa' diri ke Makkah dan Madinah bagi mengerjakan ibadah umrah sekali gus berpeluang berpuasa dan meraikan Aidilfitri di sana.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, berkata, dia sudah lama mengimpikan saat itu dan akhirnya menjadi kenyataan. 

"Mimpi menjadi kenyataan. Nak Ramadan dan hari raya di Tanah Suci. Alhamdulillah. Allah sebaik-baik perancang," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram Story hari ini.

Pada awal Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Ruhainies dan pelakon Aliff Aziz ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara.

Malah isteri kepada Aliff iaitu Bella Astillah baru-baru ini turut mendedahkan Aliff sudah lapan kali pergi ke rumah Ruhainies.

Tidak lama selepas itu, timbul pula spekulasi kononnya pelakon itu sudah berkahwin susulan namanya didaftarkan dengan panggilan Mrs atau Puan dalam sebuah urusan perniagaan di London.

Namanya juga digabungkan dengan seorang individu bagi penubuhan sebuah syarikat. Tidak ketinggalan, gambar sebuah rumah di London turut jadi persoalan sama ada berkaitan atau tidak.

Harian Metro cuba menghubungi Ruhainies semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai dakwaan pernah berkahwin  seperti yang tular di media sosial, namun mesej WhatsApp yang dihantar tiada balasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 10:24 PM