Datuk Red
Datuk Red
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Datuk Red, 46, terus berdoa kepada Allah agar berlaku keajaiban dalam menyelamatkan bahtera rumah tangga yang dibina bersama dua isterinya iaitu Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim dan Adira Suhaimi.

Datuk Red atau Datuk Seri Adenan Abu berkata, dia juga terharu dan bersyukur kerana mendapat doa baik-baik daripada orang ramai yang mengharapkan dirinya bersama Adira yang juga isteri keduanya boleh berbaik semula dan tidak bercerai.

"Terima kasih kepada sesiapa yang mendoakan saya. Saya sendiri pun sekarang hanya mampu berdoa juga. Saya berharap apa yang kita doakan itu berhasil.

"Saya tahu rakyat Malaysia ini baik-baik hati, walaupun mulanya dulu orang persoalkan maruah, fasal saya kahwin dengan Adira pun isteri kedua, tapi bila semua ini terjadi, saya banyak-banyak terima kasih kepada mendoakan, biarpun saya nampak harapan itu tipis," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Datuk Red dan Adira menjadi perhatian netizen di media sosial apabila kedua-duanya muncul bersama dalam siaran langsung di TikTok kerana Adira membantu mempromosi jualan kuih raya suaminya itu.

Kemesraan dilihat secara semula jadi pasangan suami isteri itu yang dianggap 'bukan dibuat-buat' menyebabkan rata-rata netizen mendoakan agar jodoh mereka berpanjangan, sekali gus tidak jadi bercerai.

Menurut Datuk Red, dia juga sebenarnya ketika ini di dalam situasi fikiran bercelaru apabila memikirkan bagaimana hendak menghadapi anak-anaknya bersama Adira selepas proses hakam pada 24 April ini.

"Hubungan saya dan anak-anak bersama Adira sangat rapat. Jadi, saya sendiri pun tak tahu macam mana nak menghadapi tarikh 24 April ini (proses hakam) sebab saya tak tahu apa nak jawab dengan anak-anak nanti.

"Antara sekarang ini sehingga tarikh 24 April itu, jika saya tak dapat pujuk Adira, saya rasa dekat situlah saya punya penamat. Sebab saya fikir daripada tak dapat beri kebahagiaan kepada Adira, buat apa saya nak tambahkan derita dia.

"Saya memang tak dapat bayangkan lagi macam mana nak menghadap tarikh itu (24 April) dan sebulan kemudian (kes cerai) dengan isteri pertama, Datin Red pula. Apapun, saya ucapkan terima kasihlah atas kata-kata semangat yang diberikan.

"Selagi ada peluang masa ini, saya akan terus memujuk isteri-isteri saya dengan apa daya termampu sebagai manusia biasa dan selebihnya saya reda kerana yang menentukan semuanya ada Allah saja," katanya.

Pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara Adira dan Datuk Red di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang difahamkan gagal apabila Adira tetap mahu bercerai.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 12:34 PM