Rosmin Hashim
Rosmin Hashim
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyeru pengamal industri muzik yang memerlukan wang agar memanfaatkan 'Sumbangan Rahmah Industri Muzik' yang diperkenalkan mereka pada tahun lalu.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, program terbabit dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang ketika itu disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di sebuah hotel di ibu negara.

"Di bawah program ini, pengamal industri muzik daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu sehinggalah pegawai perhubungan awam syarikat rakaman yang menghadapi kesusahan akibat pelbagai faktor boleh memohon bantuan kewangan daripada tabung amal yang baru ditubuhkan ini.

"Program amal 'Sumbangan Rahmah Industri Muzik' adalah pengembangan Dana Kecemasan kami sebelum ini yang ditubuhkan untuk menyediakan bantuan kewangan segera kepada pengamal industri muzik yang mengalami masalah kewangan akibat wabak itu.

"Melalui Dana Kecemasan RIM, kami berjaya memberikan bantuan kewangan kepada Man Kidal (Lefthanded), Kid (Search), Mel (Wings), Zydee (One Nation Emcees), Roslan Aziz, Ross Ariffin dan ramai lagi," katanya.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk mengembangkan Dana Kecemasan RIM kerana pengamal industri muzik terus menghadapi banyak kesukaran walaupun selepas wabak itu.

"Kami mendengar tentang nasib artis veteran yang bergelut untuk menampung kehidupan serta mereka yang memerlukan bantuan untuk membayar bil perubatan mereka yang banyak.

"Kami amat bersyukur kerana kami berjaya mendapatkan sokongan pembiayaan daripada Public Performance Malaysia Berhad (PPM), Pertubuhan Pengurusan Kolektif tertua di Malaysia untuk 'Sumbangan Rahmah Industri Muzik' dengan pembiayaan tahunan sebanyak RM100,000.

"Seperti Dana Kecemasan RIM sebelum ini, kami akan mematuhi parameter dan syarat yang ditetapkan dalam penyaluran bantuan kewangan daripada dana terbabit kepada pemohon yang layak. Semua permohonan akan tertakluk kepada semakan dan kelulusan Jawatankuasa program amal ini yang terdiri daripada ahli Majlis RIM terpilih," katanya.

Rosmin berharap program amal ini akan membantu membawa sedikit kelegaan kepada pengamal industri muzik yang sangat memerlukan bantuan kewangan.

"Sumbangan Rahmah Industri Muzik ini juga selaras dengan inisiatif Menu Rahmah yang dicetuskan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin bagi membantu membiayai kos sara hidup.

Mereka yang berada dalam kategori disyaratkan boleh memohon bantuan kewangan dari dana RIM dengan mengisi borang permohonan yang terdapat di laman web RIM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 3:08 PM