ROSMIN Hashim. FOTO arkib NSTP
ROSMIN Hashim. FOTO arkib NSTP
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengambil inisiatif untuk membantu pengamal industri muzik yang memerlukan bantuan kewangan segera dengan pembentukan Dana Tabung Kecemasan.

Menerusi inisiatif ini, penerima terpilih menerima bantuan terdiri daripada mereka yang terbabit atau pernah menyumbang kepada industri rakaman.

Ini termasuk mereka yang pendapatan terjejas teruk atau hilang sepenuhnya akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, mereka membaca dan mendengar penderitaan ramai pengamal industri muzik yang berjuang untuk memenuhi keperluan harian disebabkan pandemik.

"Ia menghentikan projek rakaman lagu dan membataskan peluang menjana pendapatan lain bagi pengamal muzik. Pertunjukan secara langsung juga terhenti dengan adanya sekatan yang dilaksanakan," katanya.

Rosmin berkata, sejak pelantikan Ahli Majlis Baru RIM untuk penggal 2021-2023, mereka aktif merangka pelbagai strategi untuk mengembangkan industri muzik tempatan yang dapat memanfaatkan ahli-ahli dan industri muzik secara keseluruhan.

"Dana Tabung Kecemasan ini adalah satu inisiatif utama yang memerlukan pelaksanaan segera. Ia kerana kesukaran yang melanda ramai pengamal industri muzik disebabkan oleh pandemik ini.

"Sumbangan kami kepada pihak terbabit akan mematuhi parameter dan syarat tertentu. Kami berharap sumbangan kami ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada pengamal industri muzik yang terjejas," katanya.

Dalam pada itu, RIM juga sedang merancang aktiviti pengumpulan dana yang berskala lebih besar dengan kerjasama Persatuan Penerbit Malaysia (MPA).

"Ia membabitkan pertandingan menulis lagu dan proses bidaan lagu. Ia akan dapat membantu kami mengumpul lebih banyak dana untuk diberikan sebagai bantuan kepada pengamal industri muzik yang memerlukan.

"RIM akan terus meneroka peluang kerjasama lain dengan kumpulan atau badan yang berkaitan dengan industri muzik. Ia untuk pengumpulan dana bagi inisiatif amal kami seterusnya di masa hadapan," katanya. 

Inisiatif Amal RIM dimulakan dengan sumbangan RM1,000 kepada pemain gitar Search, Kid untuk kos rawatan isterinya yang menghidap kanser darah.

Sumbangan RM1,000 juga akan diberikan kepada komposer terkenal, Ross Ariffin yang nasib malangnya dipaparkan di media baru-baru ini.

RIM juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Pemuzik Malaysia (MfM) untuk menyumbang sejumlah RM10,000 kepada 20 pemuzik rakaman yang tidak dapat mencari nafkah dengan ketiadaan projek rakaman lagu dan penutupan banyak pusat hiburan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:33 PM