KERJA-kerja rakaman lagu. FOTO NSTP
KERJA-kerja rakaman lagu. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir

 

PERSATUAN Industri Rakaman Malaysia (RIM) berharap kemudahan kewangan berjumlah RM225 juta bagi menjana semula industri kreatif dan hiburan negara diagihkan secara telus dan mengikut keperluan setiap bidang.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mana program itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyCreative Ventures dan swasta menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek, pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, peruntukan yang diberikan itu bukti kerajaan hari ini masih prihatin dan mahu membangunkan industri muzik tempatan.

"Memang sebelum ini jarang industri muzik dapat peruntukan kerajaan. Sebelum ini pernah dapat sekali sewaktu Datuk Norman Abdul Halim menjadi Pengerusi RIM dulu. Itu pun dalam lima ke enam tahun lalu.

"Walaupun jumlah tak besar iaitu RM6 juta, tapi ia digunakan sebaiknya untuk pelbagai perkara termasuk pelaksanaan geran sepadan untuk penerbitan video muzik. Industri muzik bukan macam perfileman yang mendapat peruntukan banyak. Hanya sekali itu saja, selepas itu sudah tak ada.

"Jadi, apabila kerajaan umumkan peruntukan berkenaan baru-baru ini, bagi saya ia satu penghargaan sekali gus masih memberi perhatian kepada kami selaku penggiat muzik tanah air.

"Paling penting adalah peruntukan ini untuk industri yang memberi impak maksima. Berikan kepada industri yang boleh menjana ekonomi selain dapat melaksanakan acara yang mampu membangunkan industri muzik," katanya kepada Harian Metro.

Mengambil contoh penggiat filem tempatan apabila saban tahun diadakan Festival Filem Malaysia (FFM).

Justeru, Rosmin berharap agihan itu dapat digunakan pihak RIM bagi menganjurkan semula Anugerah Industri Muzik (AIM) yang kali terakhir diadakan empat tahun lalu.

"Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) setiap tahun ada peruntukan buat FFM. Jadi, kita pun harap dapat peruntukan supaya dapat buat semula AIM. Sudah berapa lama tak buat sebab kita kena cari dana sendiri jika ingin menganjurkan acara ini.

"Ini contoh, saya mengandaikan sekiranya sudah ada peruntukan, kita boleh buat AIM. Dengan adanya peruntukan ini juga, sedikit sebanyak mengiktiraf semua orang dalam industri muzik.

"Ia sekali gus dapat meningkatkan lagi kualiti industri kreatif negara. Apabila ada kualiti dan lebih baik, lagu berkualiti dapat dihasilkan seterusnya boleh ke pasaran dunia. Setidaknya tembus ke pasaran terdekat dahulu iaitu di Indonesia," katanya.

Menurut Rosmin, pihaknya akan berjumpa agensi terbabit bagi membincangkan peruntukan yang sewajarnya diberikan kepada industri muzik.

"RIM akan berjumpa agensi berkenaan supaya peruntukan itu dapat disalurkan ke industri muzik. Kita akan minta juga. Dalam masa sama, mana tahu boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk mengeksport lagu tempatan ke luar negara seperti yang dibuat industri muzik Korea Selatan.

"Industri kreatif mereka mendapat sokongan dan kerjasama daripada kerajaan untuk membantu memasarkan produk mereka sehingga menjadi fenomena di seluruh dunia. Jadi, kerajaan kita pun boleh buat perkara sama.

"Macam sekarang, apa yang berlaku adalah pasaran kita terhad. Jika ada peluang ini, ia akan memberi ruang lebih luas kepada pengkarya. Dari situ, pendapatan dihasilkan juga tinggi dan boleh dinikmati semua pihak yang terbabit," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 6:03 PM