Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyandang jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Rosmin Hashim dan Darren Choy serta lima ahli majlis terdahulu, kekal tersenarai sebagai Ahli Majlis persatuan terbabit bagi penggal 2021-2023.

Kerusi dua pemegang jawatan lagi iaitu Datin Dr Shireen Mardziah dari KRU Music dan Albert Kang (Form Records) kini digantikan oleh komposer terkenal, Rozman Shafie atau LY dan

Kim Lim.

Jurucakapnya, Jayne Kam berkata, RIM, Kumpulan Kebangsaan Persekutuan Industri Fonografik Antarabangsa (IFPI) yang mewakili lebih 300 syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa di Malaysia mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pada 26 Mac lalu.

"Mesyuarat yang diadakan secara maya itu dihadiri oleh 35 ahli berdaftar RIM. Ahli Majlis ini terdiri daripada profesional industri muzik yang berpengalaman luas. Mereka dilantik melalui sistem undian dalam talian," katanya.

Kepimpinan tertinggi RIM penggal 2021-2023 terdiri daripada Rosmin Hashim (Pengerusi), Darren Choy (Timbalan Pengerusi), L.Y (Setiausaha) dan Edwin Tan Siew Hwee (Bendahari).

Lima Ahli Majlis pula terdiri daripada Ng Cheong Hock, Tan Tiou Chong (Chongyi),

Anthony Gan, Aziana Ali dan Kim Lim.

RIM mewakili sejumlah 366 syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Syarikat rakaman terbabit antaranya termasuk syarikat rakaman antarabangsa seperti Universal Music, Warner Music, Sony Music Entertainment dan Rock Records serta syarikat rakaman tempatan persendirian seperti Hup Hup (Life Records), New Southern Records (NSR), Suria Records (SRC), Nova Music dan Kelarai Sakti.

Sebagai badan yang mewakili industri rakaman Malaysia sejak 1978, RIM sudah melaksanakan pelbagai aktiviti demi pembangunan industri muzik tempatan termasuk melalui penerbitan Carta RIM, carta mingguan yang menyenaraikan 10 lagu tempatan dan antarabangsa dengan penstriman tertinggi di Malaysia.

"RIM juga sudah mengelola forum muzik, seminar muzik di institusi pendidikan tinggi dan menyelaras lawatan ke persidangan muzik antarabangsa (seperti MIDEM, ALL THAT MATTERS) untuk manfaat ahlinya.

"Tidak ketinggalan RIM juga penganjur Anugerah Industri Muzik (AIM), iaitu anugerah yang sangat berprestij di Malaysia," katanya.

Jayne berkata, RIM mempunyai banyak sasaran dan objektif yang lain termasuk mengekal dan menjalinkan etika perniagaan yang adil dalam kalangan ahli.

"Ini akan membantu mewujudkan dan mempromosi hak pemilik rakaman bunyi dan video melalui kes-kes undang-undang statut atau kontrak dan melalui perjanjian serta konvensyen yang membantu mempertahan, memelihara dan memajukan kesemua aspek terbabit.

"Persatuan ini juga bertanggungjawab menjana minat terhadap penerbitan produk rakaman audio serta video dengan membuat perwakilan dalam rundingan bersama kerajaan tempatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan badan-badan lain yang berkepentingan di Malaysia.

"Ia juga berperanan memajukan dan melindungi masa depan kebajikan ahli melalui usaha anti-cetak rompak oleh badan berkuasa dengan cara yang ditetapkan selain menjaga kebajikan ahli dengan sebarang cara yang sah untuk memfailkan sebarang aduan dan kes dengan mana-mana agensi kerajaan dan mahkamah serta mengambil semua tindakan yang wajar yang diluluskan oleh ahli majlis untuk melindungi hak serta kepentingan ahli," katanya.

RIM turut berperanan memohon dan menerima geran, derma, sumbangan atau sumber kewangan untuk tujuan memajukan serta mencapai objektif persatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 8:41 AM