Zaara Talita

Kuala Lumpur: Isteri Datuk Yusof Haslam iaitu Datin Patimah Ismail berkongsi kesihatannya beransur pulih dan meluahkan kesyukuran dapat melalui bulan Ramadan tahun ini dengan baik.

Katanya, dia juga tidak lagi duduk di rumah dan mampu menemani suaminya menghadiri jemputan terutama acara-acara berbuka puasa.

"Alhamdulillah, tahun ini kesihatan saya lebih baik. Boleh hadir banyak acara bersama dengan Datuk. Tahun lepas saya memang berkurung di rumah dengan apa yang berlaku. Alhamdulillah, tahun ini saya gembira balik," katanya.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Patimah berkata, Aidilfitri tahun ini dimeriahkan dengan kehadiran cucu-cucu yang akan pulang ke rumahnya.

"Cucu-cucu selalu balik. Anak-anak Syamsul, selalu balik rumah saya. Setiap minggu cuti sekolah mereka datang. Begitu juga Puteri Sarah," katanya.

Sementara itu, Yusof pula mengharapkan orang ramai supaya mendoakan yang baik-baik dan berharap apa yang berlaku sebagai satu ujian.

"Insya-Allah mudah mudahan. Dengan menyambut Aidilfitri, segalanya berjalan dengan baik. Apa pun semangat juang kena kuat.

"Perjuangan dalam kehidupan kena teruskan selagi kita sihat. Segala yang baik datang daripada Allah dan segala kekurangan datang daripada kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 5:05 PM