YASSER bangga menyanyikan lagu tradisional Melayu.
YASSER bangga menyanyikan lagu tradisional Melayu.
Sudirman Mohd Tahir


ANAK muda dari Melaka, Yasser Fikri Abu atau nama pentasnya yang unik iaitu Yasser Atakk cukup berbakat dalam irama tradisional Melayu.

Perwatakannya agak 'gila-gila' dan dikenali sebagai penyanyi jenaka, tetapi untuk projek kali ini kemunculannya menerusi lagu Senandung Anak Melaka sedikit berbeza daripada muzik irama Malaysia sedia ada.

Lagu Senandung Anak Melaka dicipta oleh Fauzi Mohammad manakala lirik ditulis oleh Siso Kopratasa. Siso memilih tema pelancongan untuk menghiasi melodi lagu selain mempromosikan Melaka sebagai kota pelancongan di Malaysia. Mereka masing-masing bekerjasama buat kali pertama.

Yasser dipilih oleh komposer dan pencipta lirik lagu ini atas dasar kebolehannya.

Selain menyanyi, Yasser juga mampu menulis lirik. Kegemarannya memparodikan lagu tertentu menjadikan dia cukup dikenali dalam kalangan peminat seni yang selalu melayari YouTube.

Menurut Yasser, dia banyak terbabit dalam persembahan tradisional Melayu bersama badan kebudayaan Malaysia, Korea Selatan, Indonesia dan Thailand.

"Saya menyanyi pada 2008 dan kemudian banyak terbabit dalam nyanyian lagu Dondang Sayang. Selain itu, saya sering membuat persembahan tradisional Melayu bersama badan budaya di dalam Malaysia, Korea Selatan, Indonesia dan Thailand.

"Tagline lagu Senandung Anak Melaka ini adalah dikatakan sebagai Kota Pelancongan Negeri Selat serta ia juga adalah cubaan Siso untuk mengimbau kembali kegemilangan Melaka satu ketika dulu sebagai Venice Timur yang sangat dikagumi oleh pedagang dari barat," katanya.

FAUZI jadikan Allahyarham Pak Ngah dan S Atan sebagai idola dalam menghasilkan irama Melayu tradisional.
FAUZI jadikan Allahyarham Pak Ngah dan S Atan sebagai idola dalam menghasilkan irama Melayu tradisional.

Yasser berkata, lirik lagu ini banyak mengupas mengenai keindahan dan kelebihan yang ada di Melaka untuk dinikmati pelancong.

"Dari tempat riadah yang menarik, inap desa yang indah hinggalah makanan tradisi dan lain-lain. Lirik lagu ini juga cuba meletakkan Melaka sebagai kota pelancongan di negeri selat yang mesti dikunjungi," katanya.

Menurut komposer Fauzi Mohammad, dia menjadikan Allahyarham Pak Ngah dan S Atan sebagai idola dan inspirasi dalam menghasilkan karya yang berteraskan irama Melayu tradisional.

"Idea dan inspirasi ini tercetus dalam Senandung Anak Melaka selepas selesai merakamkan lagu tema untuk sebuah pementasan teater di Melaka," katanya.

Sementara itu, Siso juga berharap karya yang dihasilkan oleh Fauzi dan dinyanyikan Yasser yang mana kedua-duanya anak jati Melaka ini bakal menjadi sebuah lagu yang perlu untuk menarik pelancong ke Melaka.

"Kota Pelancongan Negeri Selat bukan satu angan-angan kosong, tapi kenyataan yang mesti diakui semua anak Melaka dan warga Malaysia," katanya.

Sebagai tanda pengenalan lagu ini kepada masyarakat dan buat orang Melaka khususnya, pihak produksi menghasilkan muzik video Senandung Anak Melaka yang menjalani penggambarannya di sekitar bandar raya Melaka.

Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan digital di platform 'streaming', YouTube dan iTunes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 6:48 AM