IFA Raziah (duduk tengah) bersama vendor Star Vendors Raya Fest. FOTO Aziah Azmee
IFA Raziah (duduk tengah) bersama vendor Star Vendors Raya Fest. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


PENYANYI Ifa Raziah menafikan dakwaan wujudnya isu ‘mencaras’ sebuah festival fesyen susulan penganjuran Star Vendors Raya Fest yang bakal diadakannya pada Mei nanti.

Ifa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors berkata, penganjuran festival yang dianjurkannya itu mengikut prosedur ditetapkan pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selaku penyedia lokasi festival.

"Sebelum ini saya memang pernah bekerjasama dengan sebuah penganjur festival. Namun, tahun ini sudah menjadi rezeki saya untuk bertindak sebagai penganjur.

"Jadi, tidak timbul isu mencaras mana-mana pihak. Malah tidak wujud isu perselisihan faham antara saya dengan penganjur sebelum ini," katanya.

Ifa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kononnya wujud dakwaan mengatakan dia ‘sailang’ sebuah penganjuran festival fesyen 72 jam yang berlangsung setiap tahun di PWTC.

Katanya, tawaran untuk menganjurkan festival terbabit baru saja diterima daripada pihak PWTC semalam.

"Sebagai usahawan, saya juga melalui proses ‘pitching’ untuk mendapatkan lokasi bagi mengadakan festival ini.

"Selama dua minggu saya ‘turun naik‘ PWTC sebelum diberi kepercayaan oleh mereka untuk menjadi penganjur selepas membuat bayaran tempahan," katanya.

Ifa turut berharap penjelasannya itu dapat menjernihkan segala kekeliruan yang mungkin wujud dalam kalangan vendor selama ini.

Star Vendors bakal berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Mei nanti bakal menampilkan pembabitan lebih 40 artis tempatan dan luar negara antaranya Fattah Amin, Fazura, Erra Fazira, Randy Pangalila dan Datuk Awie.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 5:31 PM