MUZIK rock adalah evergreen dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.
MUZIK rock adalah evergreen dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.
Riadz Radzi

Pada Sabtu dan Ahad lalu, Hari Rock Negara dilancarkan di sebuah pusat beli-belah di Cyberjaya.

Program anjuran Kombat Records dengan kerjasama Mawar Grandeur Event & Qew Communications Sdn Bhd itu adalah edisi kedua selepas pertama kali diadakan tahun lalu.

Selain persembahan lebih 40 band rock yang kebanyakannya dari era 80-an dan 90-an seperti Bloodshed, Belantara, Damasutra, Ekamatra, Melissa, Headwind dan banyak lagi, ia turut diselang-seli dengan pelbagai program menarik antaranya gerai jualan, pelancaran album, qasidah, wayang pacak dan Battle Of The Bands.

Paling menarik turut diadakan program-program ilmiah seperti forum perdana, forum kartun dan rock serta kursus pengurusan jenazah.

Tidak dinafikan rock adalah muzik paling 'evergreen' bukan saja di negara kita, tetapi di seluruh dunia. Buktinya, lagu-lagu rock pada era itu banyak yang masih diminati dan banyak juga band rock dari era yang sama masih aktif dan diminati serta bertaraf legenda seperti Search, Wings, Rusty Blade, Sweet Charity, Cromok dan banyak lagi.

Rock ketika meletup di era 80-an datang dengan budaya dan fesyen. Impaknya ketika itu cukup kuat. Baik dari segi positif dan negatif, ia merebak ke seluruh negara.

Dari Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, Kuala Lipis, Dabong hinggalah ke Kampung Ulu Chepor di Lenggong, Perak! Tiada siapa yang tak kena dengan rock ketika itu.

Hari ini rock masih relevan dalam industri muzik tanah air. Namun, peminat muzik rock sering dilabel sebagai 'orang tua'.

Ini kerana kebanyakan penyanyi, pemuzik dan peminat rock ketika di era 80-an dan 90-an rata-ratanya ketika ini berusia lewat 40-an hingga awal 60-an.

Ini berlaku kerana jika disebut muzik rock, kita hanya merujuk kepada zaman kegemilangannya hampir 40 tahun lalu.

Band rock pula hanya ada Search, Wings, Belantara, Lefthanded, Bloodshed, Black Rose, MAY, SYJ, BPR, Medicine, Kris, Mega dan banyak lagi yang semuanya aktif pada era 80-an dan 90-an.

Adakah mereka ini saja yang rock? Sudah tentu bukan?

Rock adalah 'akar' yang muziknya kemudian berselirat kepada pelbagai genre dan sub-genre. Bermula dengan rock & roll, hard rock, pop rock, heavy metal, thrash metal, death metal, black metal, hard core, punk, punk rock, grunge, alternative rock, funk rock, progresif rock, psychedelic, art rock, modern rock dan terlalu banyak lagi untuk ditulis.

Secara asasnya, semua ini adalah muzik rock yang mesti memiliki tiga alat muzik asas iaitu gitar, bass dan dram.

Hari ini ada di antara genre rock ini dimainkan oleh band-band rock generasi baru dan peminatnya juga terdiri daripada generasi yang sama.

Band seperti Margasatwa, No Good, Couple, Iqbal M., Late Night Frequency, Playburst, Banyak Bunyik Republik, Jemson, Awang Samrow, Midnight Fusic, Insomniacks, Budak Nakal Hujung Simpang, Ramayan, Trophy Knives, Faculty Of Joy dan banyak lagi.

Nama-nama inilah yang diminati kebanyakan generasi muda sekarang. Merekalah penerus legasi muzik rock tempatan yang sebenarnya boleh mendominasi industri muzik tanah air.

Kreatif menghasilkan muzik dan lirik, boleh menyanyi dan bermain muzik dengan baik di samping memiliki 'attitude' rock dan 'cool' adalah kelebihan mereka.

Jadi, jika bersembang mengenai muzik rock hari ini, jangan lupa 'selitkan' sekali nama-nama ini. Bukan mereka saja, sebenarnya kita memiliki ratusan band rock pelbagai genre dalam kalangan anak-anak muda.

Dan, mereka ini terus memperjuangkan rock. Rock bukan tersekat di era 80-an dan 90-an saja, tetapi terus berevolusi hingga hari ini.

Agaknya mungkin sambutan Hari Rock Negara tahun depan boleh digabungkan dengan band-band generasi baru ini. Pasti sambutannya lebih menarik!.

Penulis Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 7:01 AM