SEMUA artis bergandingan menyampaikan lagu Seiring Sejalan sebagai persembahan penutup. FOTO Saddam Yusoff
SEMUA artis bergandingan menyampaikan lagu Seiring Sejalan sebagai persembahan penutup. FOTO Saddam Yusoff
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI generasi sekarang hanya mengetahui lagu dendangan Hail Amir, Uji Rashid, Jay Jay dan Dayangku Intan tetapi bukan penyanyinya.

Namun, bagi pengikut setia pasangan duet popular era 70-an dan 80-an itu, majoriti mengakui keserasian penyanyi kesayangan mereka itu.

Hail dan Uji diingati menerusi lagu Hujan, Antara Matamu Dan Mataku serta Menunggu Nasi Minyak, manakala Jay Jay dan Dayangku Intan popular menerusi lagu Peralihan Zaman serta Kita Insan Biasa.

Keserasian inilah yang menjadi tonggak kekuatan Konsert Retro Bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu di Panggung Sari Istana Budaya.

Konsert anjuran Istana Budaya itu seakan-akan melengkapkan siri konsert retro yang pernah berlangsung di premis berprestij berkenaan sebelum ini.

Keseronokan bukan saja diperlihatkan menerusi lagu yang dinyanyikan tapi juga melalui sisi kemesraan dua pasangan duet itu yang suka bergurau dan usik-mengusik hingga mencuit hati penonton.

Menepati cita rasa peminat, konsert itu hadir dengan himpunan lagu popular dan duet yang membuai nostalgia semua.

Persembahan dibuka dengan tarian Artis Tari Istana Budaya menerusi lagu I Should Dance daripada filem Saturday Night Fever nyanyian asal Bee Gees.

Uji tampil membuka pentas menerusi segmen Kenangan Malar Segar dengan menyanyikan lagu Kuingin Selalu Disampingmu, Semakin Hari Semakin Sayang diikuti Hail yang membawakan lagu Kau Datang Lagi serta Wajah Kesayangan Hamba.

Persembahan mereka berjalan lancar dan menghiburkan walaupun kedua-duanya kian dimamah usia.

JAY JAY dan Dayangku Intan menyanyikan lagu Kita Insan Biasa. FOTO Saddam Yusoff
JAY JAY dan Dayangku Intan menyanyikan lagu Kita Insan Biasa. FOTO Saddam Yusoff

Dayangku Intan pula memukau peminat dengan lagu Berpaut Di Dahan Cinta dan Semakin Rindu Semakin Cinta dalam segmen Mekar Sejambak.

Jay Jay menyusul selepas itu dengan lagu Dendangan Laguku dan Rindu Bayangan.

Dua segmen lagi ialah Tribute dan Hit Duet Retro 70’ vs 80’.

Tidak ketinggalan, beberapa artis muda seperti Asmidar dan Lan Solo turut memeriahkan konsert itu menerusi beberapa lagu solo dan duet. Lan menyanyikan lagu Kisah Seorang Biduan nyanyian asal Datuk Dahlan Zainuddin manakala Asmidar mengalunkan lagu Wajahmu Dimana Mana nyanyian Azlina Aziz.

Mereka seterusnya bergandingan menyanyikan Lagu Gembira dan Mawarku nyanyian asal Eddie Ahmad serta Hamidah Ahmad.

Kira-kira 25 lagu ditampilkan dan kesimpulannya peminat terhibur kerana pelbagai faktor iaitu nyanyian dan komunikasi artis di atas pentas.

Persembahan pada malam pertama turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi serta isteri, Datin Zarinah Muhammad Ibrahim.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Rashidi Hasbullah dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Beberapa artis antaranya Salamiah Hassan dan Bob AF2 hadir memberikan sokongan.

Peminat yang hadir bukan hanya dalam kalangan peminat tempatan tetapi juga dari negara Brunei dan Singapura.

LAN Solo berduet dengan Asmidar. FOTO Saddam Yusoff
LAN Solo berduet dengan Asmidar. FOTO Saddam Yusoff

Uji ketika ditemui mengaku perasaannya bercampur baur antara gembira dan sedih apabila menjayakan konsert ini.

“Konsert ini mewakili penyanyi zaman kami. Namun, saya sedih kerana rakan era kami tiada bersama.

“Yang ada pula tak nak menyanyi lagi atas pelbagai faktor termasuk kesihatan.

“Bagaimanapun, alhamdulillah kerana peminat tetap hadir memberikan sokongan,” katanya.

Hail pula gembira kerana pertama kali dapat beraksi di IB.

“Ini kali pertama saya menyanyi di sini dan berasa sangat teruja. Apatah lagi dapat menyanyi dengan orkestra.

“Alhamdulillah, tahap kesihatan saya juga baik untuk menyanyi berbanding sebelum ini,” katanya.

Sementara itu Jay Jay menyifatkan pembabitannya dalam konsert itu sangat bermakna.

“Kami bekerja sebagai satu pasukan untuk menghiburkan peminat.

“Konsert ini berjaya kerana lagu-lagunya, kostum dan tarian pula menepati era retro.

“Lagu pada zaman itu sedap kerana melodinya menarik dan liriknya berbunga-bunga serta mendalam,” katanya.

HAIL dan Uji menyanyikan lagu duet popular mereka. FOTO Saddam Yusoff
HAIL dan Uji menyanyikan lagu duet popular mereka. FOTO Saddam Yusoff

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 5:32 AM