FILEM animasi tempatan Mechamato Movie terbitan Monsta bukti kukuh bahawa produk tempatan boleh mencipta keuntungan.
FILEM animasi tempatan Mechamato Movie terbitan Monsta bukti kukuh bahawa produk tempatan boleh mencipta keuntungan.
Georgie Joseph

Kejayaan membanggakan diraih filem animasi tempatan Mechamato Movie terbitan Monsta baru-baru ini bukti kukuh bahawa produk tempatan boleh mencipta keuntungan lebih besar jika aspek Skim Wajib Tayang (SWT) diperhalusi lagi.

SWT dasar yang diamalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam memberikan kuasa untuk mempertimbangkan dan menerima mana-mana filem tempatan atau filem usaha sama (tempatan dan luar negara).

Ia bertujuan supaya filem terbabit ditayangkan secara wajib dalam panggung oleh pihak pengendali pawagam, mengikut peruntukan peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Skim Wajib Tayang) 2005 yang berkuatkuasa pada 23 Jun 2005.

Apapun, slot yang diberikan harus diambil kira dengan lebih serius apabila waktu tayangan bukan tertumpu kepada waktu tertentu saja. Misalnya untuk Mechamato Movie yang kebanyakan tayangannya pada waktu siang saja, tetapi tiada pada waktu malam.

Mungkin pihak pawagam melihat potensi filem itu mempunyai kelebihan pada waktu siang saja kerana ia filem kanak-kanak atau kekeluargaan semata-mata. Justeru, ia jadi alasan untuk buat ketetapan sebegitu.

Ini terutama apabila filem luar negara paling dinanti contohnya Avatar baru-baru ini menjengah di tengah-tengah tayangan Mechamato Movie berlangsung. Pasti ada kesannya terhadap slot tayangan, mana satu perlu diberi keutamaan.

Hal itu juga diluahkan pihak Monsta yang mana mengikut tinjauan dibuat, tayangan filem mereka tiada slot pada waktu malam. Sebaliknya tayangan untuk Avatar pula yang berderet dan pengunjung tentu sekali memilih tonton filem itu.

Sekali gus, berlaku situasi 'oppotunity loss' apabila pengunjung berkeluarga tiada pilihan meskipun anak mereka mahu tonton Mechamato Movie. Peluang untuk keluarga pergi menontonnya agak tipis disebabkan tiada slot tayangan pada waktu malam.

Bukan murah untuk menempah tiket bagi keluarga seramai lima hingga tujuh orang misalnya. Filem tempatan perlu diberikan peluang, kerana bukan tiada permintaan, filem itu hanya perlu diberi peluang sama rata untuk bersaing.

MECHAMATO Movie memiliki jenama yang  kukuh dan membuktikan produk tempatan mampu meraih untung lebih besar jika aspek  SWT diperhalusi lagi.
MECHAMATO Movie memiliki jenama yang kukuh dan membuktikan produk tempatan mampu meraih untung lebih besar jika aspek SWT diperhalusi lagi.

Sebagaimana yang berlaku di Jepun sendiri, filem tempatan mereka Slam Dunk meraih pencapaian luar biasa. Walaupun pada minggu ketiga tayangan, ia berjaya mengalahkan Avatar pada minggu pertama.

Meskipun, Avatar dilaporkan mendapat panggung paling banyak dalam sejarah pembukaan di Jepun, namun masih kalah. Justeru, ia membuktikan bahawa masih ramai rakyat di sana sememangnya kental agungkan filem mereka.

Sudah menjadi 'trend' dunia apabila negara yang mempunyai identiti dan jati diri kuat, disertakan dengan kualiti filem tempatan yang tinggi akan dapat mendominasi pasaran sendiri. Ini juga dilaporkan terjadi di pasaran seperti Thailand, Korea dan Indonesia.

Jika peluang dan keyakinan sama terus diberikan kepada filem tempatan, pola sambutan tontonan di Malaysia juga tentunya berubah lebih positif. Semakin banyak produksi tempatan mampu berpuas hati dengan prestasi filem mereka di pasaran.

Mechamato Movie tidak dinafikan memiliki jenama yang sangat kukuh sekali gus kelebihan untuk raih lebih keuntungan amat jelas. Dengan bantuan lebih slot tayangan pada waktu tertentu, angkanya mungkin jadi lebih besar.

Apa-apa pun, peluang sama rata ini perlu dikuat kuasa kepada semua filem tempatan lain juga. Seiring misi ingin sokong produk kita, pihak pawagam terutamanya perlu timbang tara mengenai aspek penayangan sama rata dengan filem antarabangsa.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 7:01 AM