KINI masa untuk tonjol banyak sisi lain dirinya.
KINI masa untuk tonjol banyak sisi lain dirinya.
Georgie Joseph


Selepas GOT7 diumumkan keluar secara rasmi daripada agensi JYP Entertainment kerana tidak memperbaharui kontrak mereka, anggotanya terus fokus kepada kerjaya solo masing-masing.

Salah seorang anggota GOT7, Jay B, 27, enggan membuang masa dan terus tumpukan tenaga untuk melakar profil sendiri. Dia perlu pandang ke depan dan memajukan jenamanya sebagai penyanyi solo.

Jay B atau nama sebenarnya Lim Jae-beom berkata, sekarang adalah masa tepat untuk menyerlahkan kualiti artistiknya dalam berkarya.

Misinya tidak lain untuk melakar profil muzik yang akan dihormati orang ramai.

"Saya cuma berharap lebih ramai lagi akan mengenali siapa saya, tahu GOT7 dan tahu H1GHR (syarikat rakaman) juga. Paling penting juga adalah tahu lagu-lagu saya.

"Saya mahu semua orang ternanti dan tidak sabar untuk mendengar muzik saya serta menghormatinya. Saya ingin tunjuk banyak sisi diri dengan berkarya lebih bebas.

"Apabila sudah bergerak sendiri dan mengawal kreativiti karya sepenuhnya, saya juga ingin bebas meneroka. Saya teringin mencuba pelbagai jenis muzik pula," katanya.

Tempoh lebih tujuh tahun bersama GOT7 pastinya masih segar dalam fikiran Jay B. Susah senang dirasai bersama yang lain dan tentu sekali hatinya masih cukup sayang terhadap perjuangan mereka selama ini.

Namun, dia mengakui perlu menukar corak pemikiran daripada berkumpulan kepada idea sendiri pula. Justeru, pendekatan dalam berkarya juga harus ditukar dengan cara peribadinya.

SELEPAS kumpulan GOT7 berpecah kini masa tepat untuk menyerlahkan kualiti artistiknya dalam berkarya.
SELEPAS kumpulan GOT7 berpecah kini masa tepat untuk menyerlahkan kualiti artistiknya dalam berkarya.

"Saya banyak memikirkan mengenai konsep GOT7 apabila menghasilkan album bersama mereka. Namun untuk lagu sendiri, corak pemikiran itu harus lebih dikawal saya sendiri sekarang.

"Apabila menghasilkan album solo, saya memang fikir mengenai diri sendiri saja dan apa yang terbaik perlu diusahakan. Itulah perbezaan nyata apabila kerja berkumpulan dan sendiri," katanya.

Jay B juga tidak menyangkal wujud kepuasan berbeza dalam dirinya apabila berkarya solo. Paling melegakan, apabila dia melihat laluan di depan adalah yang tepat untuk disusurinya.

Demikian juga dalam menentukan hala tuju muzik yang paling sempurna dengan cita rasanya. Dia sedari, proses itu akan jadi lebih menyeronokkan serta penuh makna apabila sudah ditetapkan.

"Dalam banyak-banyak hala tuju (pernah dilalui), saya rasa kali ini laluannya adalah yang paling tepat. Semestinya bukan mudah untuk menetapkan sebuah hala tuju yang betul.

"Namun, apabila terus mengerah otak dan berjaya temui hala tuju itu, ia akan bertukar lebih seronok dan bermakna. Walaupun ia tampak mencabar, tapi seronok rasanya," katanya.

Dalam pada berkarya solo, Jay B juga sentiasa terbuka untuk meluaskan lagi kerjasama dengan artis lain. Semestinya jalinan sebegitu penting demi meraih perspektif baharu.

Antara projek terbarunya juga adalah kerjasama dengan Sokodomo dan Cha Cha Malone menerusi lagu Switch It Up. Dia tidak menafikan kerjasama itu antara yang paling memuaskan hati.

"Apabila masuk studio bersama, kami banyak bermain dan bekerja tanpa rasa kekok pun. Saya sangat berseronok sepanjang masa dengan mereka.

JAY B sedar proses jadi lebih menyeronokkan dalam menentukan hala tuju muzik  paling sempurna dengan cita rasanya.
JAY B sedar proses jadi lebih menyeronokkan dalam menentukan hala tuju muzik paling sempurna dengan cita rasanya.

"Oleh kerana itu kali pertama saya bekerjasama dengan mereka, ada juga sedikit rasa gementar. Tapi, ia tidak menggugat sedikit pun rasa seronok itu ketika menyiapkan lagu berkenaan," katanya.

Berkongsi mengenai situasi pandemik sekarang, Jay B juga tidak terlepas daripada terkesan dengannya. Sebagai artis, dia akui inspirasi adalah sesuatu yang penting untuk dicari setiap masa.

Justeru, dari segi kreativiti sememangnya cukup terbatas untuknya. Apatah lagi, dia sendiri mengakui dirinya jenis tidak duduk rumah dan sentiasa mencari idea di luar.

Oleh yang demikian, dia cuba memanfaatkan sebaiknya mana-mana kebebasan yang perlu dipatuhi di luar. Katanya, dia perlukan angin di luar demi mencari inspirasi.

"Memang sangat terkesan. Disebabkan saya tidak boleh berjalan ke banyak tempat, dari segi inspirasi itu memang rasa terbatas.

"Namun, ada juga hikmah di sebaliknya kerana ia menyedarkan saya untuk lebih berhati-hati pada masa sama. Sekarang bukan masa untuk ambil remeh situasi ini.

"Apapun, saya masih rasa diri perlu banyak bergerak dengan aktiviti luar. Kehidupan harian saya jadi lebih pelbagai apabila dapat berbasikal, bersenam dan memandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:40 AM