Nonny Nadirah
Nonny Nadirah
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, saya dah makin pulih dari gangguan sihir. Saya merawat diri dengan mengamalkan bacaan dari ayat-ayat al-Quran," kata pelakon dan penyanyi Nonny Nadirah ketika diminta mengulas dakwaan dia menjadi mangsa gangguan sihir, sejak tiga tahun lalu.

Nonny, 34, berkata, dia mengakui wajahnya memang senget sebelah akibat perbuatan sihir itu.

Katanya, bila seseorang terkena gangguan sihir memang ada perubahan pada raut wajah seperti dialaminya sekarang

"Memang saya sudah pergi berubat dengan cara perubatan Islam sebelum ini. Selepas itu, saya sendiri belajar merawat diri sendiri dengan bacaan ayat-ayat al-Quran tanpa bergantung pada orang lain. Dengan izin Allah semuanya kembali normal," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya sama ada dia mengenali individu yang melakukan gangguan sihir itu, Nonny mengakui perkara itu.

"Ya saya kenal dia. Saya mendoakan semoga dia kembali ke pangkal jalan. Selagi dia tidak bertaubat di atas segala perbuatan itu, dia akan menerima pembalasannya nanti.

"Jika dia bertaubat, saya akan maafkan segala kesalahannya di dunia dan akhirat," katanya yang mengakui penampilan ditinya yang tidak bertudung juga ada kaitan dengan gangguan sihir itu.

Nonny berkata, dia kini lebih fokus kepada dirinya sendiri.

"Saya mahu perbaiki diri dan tak putus mencari ilmu untuk menjadikan dirinya lebih baik dari yang sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Nonny membuat perkongsian di Instagram mendakwa wajahnya menjadi senget sebelah akibat gangguan sihir sekali gus mencuri perhatian ramai di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 12:01 PM