NONNY NADIRAH
NONNY NADIRAH
Georgie Joseph


PELAKON dan penyanyi Nonny Nadirah terkilan apabila ada pihak sengaja mengungkit kisah lamanya bersama bekas suami, Mustain Adnan sehingga menimbulkan salah faham kononnya dia belum reda dengan kesudahan hubungan mereka.

Nonny, 30, berkata, dia mahu pihak terbabit berhenti mengeruhkan keadaan memandangkan dia kini dalam proses menaikkan semula namanya dalam kerjaya seni yang terhenti sebelum ini.

"Saya sudah 'move on'. Berhentilah 'mencurah minyak ke dalam api' termasuklah mengungkit cerita lama saya dengan bekas suami. Izinkan saya buka buku baru dan teruskan kehidupan dengan lebih baik.

"Lebih setahun saya cuba bangkit dari kesedihan akibat kegagalan rumah tangga sebelum ini. Berilah saya peluang dan ruang untuk bangkit semula serta terus sokong saya supaya kembali kuat.

"Saya mohon kepada siapa yang cuba membuat cerita gara-gara video saya beraya di rumah bekas suami tahun lalu, sudah-sudahlah. Perbuatan itu cuma membuatkan banyak suara sumbang muncul mengeruhkan keadaan," katanya.

Nonny mengakui dia agak terkesan apabila timbul cerita tidak enak sebegitu sebaik kisah percintaannya bersama pelakon Niezam Zaidi menjadi tumpuan, baru-baru ini.

Justeru, dia berharap semua pihak supaya tidak mengungkit kisah lalu sebaliknya memberikan sokongan kepada perjalanan kariernya sekarang.

"Tiada apa yang saya pinta selain semua terus memfokuskan kepada kerjaya seni saya ke hadapan. Doakan rezeki saya terus dipermudahkan untuk menjadi anak seni yang berkualiti," katanya.

Nonny dan Mustain yang juga penolong penerbit rancangan TV mendirikan rumah tangga pada 2018 di Kota Kinabalu, Sabah. Namun, mereka bercerai pada Mac tahun lalu.

Bulan lalu, Niezam memaklumkan dia dan Nonny bercinta serta merancang untuk berkahwin sebelum hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 5:24 PM