NONNY Nadirah. FOTO Arkib NSTP
NONNY Nadirah. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph


PELAKON dan penyanyi Nonny Nadirah tidak malu mengakui dirinya masih merangkak dalam mendalami ilmu agama dalam usaha memperbaiki diri.

Nonny, 29, berkata dia sudah lama menyimpan niat itu, namun sering menangguhkannya sehinggalah terbuka hati untuk berbuat demikian, baru-baru ini.

“Saya bukan acah-acah mahu tunjuk baik atau jadi ustazah. Sudah lama saya menyimpan niat untuk memperbaiki diri sebagai orang Islam dengan nawaitu yang ikhlas.

“Disebabkan itu saya meminta pertolongan untuk mencari ustazah terbaik menerusi Instagram untuk mengajar saya. Saya ada cuba iktihar mencari sendiri, namun tidak berhasil dan sahabat saya Heliza Helmi menyarankan untuk gunakan media sosial.

“Tidak sangka, mendadak DM (direct message) saya terima selain kata-kata semangat daripada orang ramai. Namun, ingin saya tegaskan tindakan itu bukan untuk minta perhatian, sebaliknya memudahkan pencarian saya,” katanya.

Nonny juga mengakui dirinya kini lebih tenang sejak mendekatkan diri dengan Tuhan dengan mendalami ilmu agama.

“Sejak berumah tangga, nawaitu untuk menunaikan kewajipan sebagai orang Islam itu lebih kuat. Apalagi ibu saya sendiri sentiasa berpesan untuk tunaikan kewajipan itu selepas sekian lama saya menangguhkannya.

“Alhamdulillah, proses itu dipermudahkan dan ikutkan hati memang nak saja bermula esok. Apa pun, saya perlu cari ustazah yang betul-betul boleh membimbing saya dengan baik termasuk berjaya khatam al-Quran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 6:41 PM