Selebriti terkenal, Datuk Aaron Aziz bersama salah satu koleksi khat Ruqyah edisi Aaron Aziz di galeri pameran Topkhat. NSTP/SUPIAN AHMAD
Selebriti terkenal, Datuk Aaron Aziz bersama salah satu koleksi khat Ruqyah edisi Aaron Aziz di galeri pameran Topkhat. NSTP/SUPIAN AHMAD
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Datuk Aaron Aziz, 42, memilih menggunakan ayat suci Al-Quran untuk merawat penyakit misteri yang dialaminya sejak dua tahun lalu.

Amalan itu juga dilakukannya selepas puas mencuba pelbagai cara rawatan moden dan saintifik.

"Sakit yang saya alami bukanlah sentiasa ada, sebaliknya sesekali bila ia muncul, saya akan rasa. Saya dah cuba perubatan moden, namun tidak berhasil.

"Jadi, saya bertemu seorang kenalan yang arif mengenai ilmu agama dan sunnah. Selepas mendapat nasihatnya, saya cuba amalkan bacaan surah-surah Ruqyah dan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai amalan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Diminta bercerita lebih lanjut mengenai sakit misteri dialaminya, dia menjelaskan bahawa di awal proses rawatan, ada beberapa kesan sampingan.

"Mungkin ramai tahu saya pernah alami sakit di bahagian belakang beberapa tahun lalu. Selepas mencari rawatan, ia tidak sembuh.

"Bila saya amalkan bacaan ayat Al-Baqarah, saya mula rasa mual. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya semakin baik," katanya.

Selain mengamalkan bacaan ayat Al-Quran, Aaron juga dinasihatkan supaya menurunkan bingkai-bingkai dengan gambar keluarga di rumahnya.

"Menurut kenalan saya itu, kalau dalam rumah digantung gambar-gambar makhluk hidup walaupun anggota keluarga, malaikat takkan masuk.

"Jadi, perkara pertama yang saya lakukan adalah menurunkan gambar-gambar keluarga yang digantung di dalam rumah, katanya.

Terbaru, Aaron hari ini melancarkan kempen Journey to Insyirah dengan kerjasama dengan jenama kaligrafi Islam, TopKhat.

Menerusi pelancaran itu, Aaron dan TopKhat memperkenalkan Aaron Aziz Series Ruqyah Edition dengan lima rekaan berbeza.

20 peratus daripada keuntungan yang dijana daripada penjualan koleksi seni itu akan disalurkan kepada keluarga miskin yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 6:28 PM