NONNY (kanan) dan Niezam.
NONNY (kanan) dan Niezam.
Georgie Joseph

PELAKON dan penyanyi, Nonny Nadirah mengakui kini memiliki hubungan istimewa dengan pelakon Niezam Zaidi sejak tahun lalu.

Nonny, 30, berkata hidupnya kembali ceria sejak rapat dengan Niezam dan bersyukur pelakon itu antara yang setia di sisi dengan memberikan kata semangat selepas perceraiannya pada 2018.

"Niezam ada di sisi saya sewaktu susah dan senang. Dia sentiasa ceriakan hidup saya dan suka buat saya ketawa.

"Tidak dinafikan, hidup saya terumbang-ambing selepas rumah tangga dibina terdahulu gagal. Selain keluarga, rakan baik Heliza Helmi dan Mila Jirin, Niezam juga antara penyokong terdekat saya.

"Saya semakin selesa dengannya apabila melihat usahanya untuk membawa hubungan kami ke arah yang lebih serius. Apa pun, doakan yang baik-baik andai jodoh kami memang sudah tertulis," katanya.

Meskipun tidak mengesahkan mereka kini bercinta, Nonny tidak menolak andai benar Niezam adalah jodoh terbaiknya suatu hari nanti.

"Kisah cinta kami memang banyak persamaan. Paling saya suka adalah Niezam bukan jenis suka mendesak dalam perhubungan.

"Kami sebenarnya 'go with the flow' saja dengan hubungan yang ada sekarang ini. Semestinya, saya juga mengimpikan kebahagiaan sebagaimana orang lain yang mencari jodoh terbaik untuk diri," katanya.

Nonny dan Niezam kini menjalani penggambaran bersama untuk sebuah drama berjudul Luka Di Hati Kamu.

Terdahulu, Nonny pernah mendirikan rumah tangga bersama penyokong penerbit rancangan Mustain Adnan pada  2018 di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun jodoh mereka tidak berkekalan dan pasangan itu sah bercerai pada Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 4:09 PM