Ibnor Riza kini dirawat di HKL akibat sesak nafas.
Ibnor Riza kini dirawat di HKL akibat sesak nafas.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam akibat sesak nafas dan hampir pitam.

Perkara ini dimaklumkan penyanyi Nizam Laksamana menerusi Facebook peribadinya.

"Kawan-kawan yang dikasihi, ini sahabat kita Ibnor Riza . Sekarang dia di bilik isolasi HKL, menunggu pemeriksaan.

"Rentetan dari penyakit yang dialami tempoh hari, sekarang dia sakit kepala yang teruk (hampir pitam). Suara yang lemah, tiada selera makan dan tidak boleh bercakap macam biasa.

"Tekanan darah rendah, tidak boleh menelan makanan, juga beberapa simptom penyakit yang belum dapat diketahui secara detail (terperinci)," katanya.

Nizam yang dihubungi berkata, Ibnor bersama isteri mulanya mengambil anak mereka di Kerinchi untuk pulang ke rumah.

"Dia kemudian mengadu sakit kepala dan mereka kemudian terus mengejarkan Ibnor ke HKL.

"Sebelum ini pun dia sudah lama mendapatkan rawatan di klinik. Mudah-mudahan di HKL ini dapatlah dia dirawat secara menyeluruh.

"Marilah kawan-kawan, sama-sama kita doakan kesembuhan Ibnor. Mudah-mudahan ada doa dari kawan-kawan yang Allah perkenan, angkat doa kawan-kawan dan Allah sembuhkan dia dari apa jua sakit yang dialami," katanya.

Terdahulu Harian Metro sebelum ini menyiarkan penyanyi yang popular menerusi lagu Meneka Dalam Kesamaran dan Mimpi Yang Tak Sudah ini menderita akibat leher membengkak, hilang suara, kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol kritikal.

Ibnor yang dihubungi berkata, dia mengalami masalah hilang suara dan leher membengkak sejak tiga bulan lalu.

Dia berjumpa doktor pakar dan dimaklumkan ada sel mati yang membentuk nanah di dalamnya.

"Saya nak buat pembedahan dan kena ambil darah. Rupa-rupanya saya ada masalah kencing manis, darah tinggi, migrain dan kolesterol tahap kritikal.

"Namun, saya bersyukur buah pinggang dan jantung okey. Mula-mula bacaan gula dalam darah ialah 22. Sekarang menurun kepada 11.9," katanya kepada Harian Metro.

Penyakit yang dideritainya juga membuatkan dia hilang pendapatan kerana terpaksa menolak tawaran menyanyi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 12:17 PM