IBNOR Riza
IBNOR Riza
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Walaupun keadaan kesihatan penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza, 62, kini stabil, namun dia berdepan kemungkinan boleh jatuh pengsan dan jantung terhenti pada bila-bila masa disebabkan ada komplikasi saraf terhimpit pada bahagian pipi kirinya.

Ibnor berkata, masalah itu juga menjadi antara faktor dia terpaksa keluar masuk hospital selama lebih dua bulan.

"Syukur keadaan saya stabil tetapi masih lagi dalam pemantauan doktor. Ini kerana ada ketulan di wajah saya yang menghimpit saraf untuk saluran udara ke jantung dan otak.

"Saya boleh jatuh pengsan dan jantung terhenti pada bila-bila masa disebabkan komplikasi yang saya hadapi ini. Itulah sebabnya hampir dua bulan saya keluar masuk hospital," katanya.

Ibnor berharap orang ramai terus mendoakan agar kesihatannya kembali pulih. Dia juga turut bersyukur atas segala sumbangan yang diterimanya.

"Saya mohon doa kawan-kawan. Insya-Allah daripada doa-doa itu adalah juga satu doa yang diangkat untuk membolehkan saya sembuh.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudah mendoakan saya. Yang sudah membuat sumbangan ikhlas, terima kasih banyak-banyak. Semoga anda semua dirahmati Allah dan dimurahkan rezeki," katanya.

Pada pertengahan bulan ini, Ibnor terpaksa dimasukkan ke Hospital Port Dickson dan ditidurkan selepas pengsan.

Bagaimanapun, isterinya Sarimah Sulaiman, 51, maklumkan Ibnor sudah sedar pada 20 Februari lalu.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu diserang pelbagai penyakit termasuk leher membengkak, hilang suara, kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol kritikal sekitar awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 12:58 PM