FIERSA jayakan Konsert Fiersa Besari Berjalan Mundur di Zepp KL, baru-baru ini.
FIERSA jayakan Konsert Fiersa Besari Berjalan Mundur di Zepp KL, baru-baru ini.
Norhayati Nordin


BAGI penggemar lagu puisi di negara ini, pasti tidak asing dengan kumpulan Kopratasa. Namun di Indonesia, karya lagu puitis menjadi pilihan ramai pastinya daripada dendangan Fiersa Besari.

Hadir ke Malaysia baru-baru ini, Fiersa, 39, menghiburkan lebih 1,000 peminatnya di Zepp Kuala Lumpur menerusi Konsert Fiersa Besari Berjalan Mundur yang menghimpunkan kira-kira 20 lagu hasil ciptaannya.

Fiersa berkata, dia sentiasa teruja datang ke Malaysia untuk mengadakan konsert kerana sambutan baik yang diterima walaupun lagu-lagunya amat dikenali sebagai karya puitis dan mungkin hanya disukai kelompok pendengar tertentu saja.

"Sejujurnya, saya tidak menduga selepas setahun, saya dapat kembali lagi ke Malaysia untuk menjayakan konsert, sekali gus membuat hati ini berasa seperti berada di rumah kedua.

"Melihat pula pada sokongan ramai membuat saya bersyukur dengan rezeki daripada Tuhan dan memberikan saya semangat agar terus berkarya dalam genre muzik saya dengan menghasilkan lagu-lagu berlirik puitis yang indah," katanya.

Bapa seorang cahaya mata perempuan ini berkata, dia sukakan lagu-lagu puitis kerana mudah menjentik rasa dan emosi pendengar yang pelbagai berikutan dalam kehidupan ini tidak semuanya gembira dan sedih selalu.

"Semuanya bergantung dengan keadaan dihadapi. Ada orang gembira, sedih, jiwa kacau, lara percintaan dan sebagainya. Namun menerusi lagu, ia dapat diluahkan dengan melodi indah dan penceritaan yang pelbagai.

"Saya akui banyak menghasilkan melodi dan lirik lagu puitis untuk bercerita. Malah, saya tahu ada orang boleh menerima lirik itu dan ada yang sebaliknya namun dalam muzik sudah pasti pendengar boleh memilih apa mereka suka," katanya.

Berbicara mengenai tanggapan segelintir pihak melabelkan lagu-lagunya sebagai karya 'patah hati' dan galau, Fiersa mengakui dia hanya mampu menerima dengan hati terbuka dan positif.

"Apa saja tanggapan pendengar terhadap lagu-lagu saya, diterima dengan baik kerana itu hak mereka. Saya sebagai pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi, yakin menghasilkan karya itu dengan sepenuh hati yang ikhlas.

"Pendengar berhak untuk membuat penilaian mereka sendiri. Bagi saya, setiap individu memiliki interpretasi berbeza apabila mendengar lagu mengikut emosi mereka dan rasa dalam diri ketika itu.

"Jadi, tidak mengapa jika ada pendengar mahu cakap lagu saya semuanya sedih, galau dan berkaitan putus cinta, kerana kita semua memiliki pemahaman berbeza mengikut pengalaman.

"Apapun, terpulang kepada individu itu membuat interpretasi sendiri. Setakat ini, ada lagu saya yang mesej sebenar menjurus kepada kegembiraan, tetapi boleh juga buat pendengar sedih.

"Hingga saya berasa manusia ini emosinya aneh-aneh? Lagu gembira dikatakan sedih, lagu sedih pula jadi rasa kesal. Maka, terpulang pada apa yang mereka rasakan sendiri," katanya.

Fiersa yang lebih 14 tahun sudah menjadi penyanyi, mengakui dia kini berkarya atas sebab minat mendalam terhadap muzik dan bukan lagi untuk mengejar populariti kerana usia yang semakin meningkat, matang serta sudah berkeluarga.

Antara lagu-lagu dinyanyikan Fiersa ialah Pengecut, Bukan Lagu Valentine, Garis Terdepan, Melangkah Tanpamu, Komedi Tragis, Melawan Hati, Juara Kedua, April, Garis Waktu, Lekas Pulih, Seperti Kita Dulu, Samar, Pemberani dan Nadir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 6:55 AM