AMYLEA mula menghasilkan lagu-lagu OST sejak 2007. FOTO Asyraf Hamzah
AMYLEA mula menghasilkan lagu-lagu OST sejak 2007. FOTO Asyraf Hamzah
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan penulis lirik, Amylea Azizan tidak menolak sekiranya dilabel sebagai Ratu OST atau runut bunyi apabila banyak lagu-lagunya dijadikan OST drama TV dan mencuri tumpuan ramai.

Amylea, 33, berkata, dia memulakan langkahnya dalam menghasilkan lagu-lagu OST sejak 2007 dan kini mula membuahkan hasil.

"Kalau ada yang menggelar saya Ratu OST, saya terima. Saya sering bekerjasama dengan syarikat produksi Radius One Sdn Bhd. Dulu saya bergerak sendiri tetapi sekarang saya selesa bekerjasama dengan Farouk Roman," katanya.

Menurut Amylea, dia juga selesa bekerja dengan pengarah dan pemilik Radius One, Shahrulezad Mohameddin selepas beberapa tahun bekerjasama.

"Abang Ezad (Sharulezad) adalah pengarah dan penerbit yang sentiasa mahukan lagu khas untuk karya-karyanya. Pemikirannya lebih jauh dan berbeza berbanding orang lain kerana dia mahukan satu lagu yang istimewa, sekali gus menjadi identiti untuk karya-karyanya.

"Sepanjang bekerjasama dengan Radius One, saya sudah hasilkan banyak lagu. Kalau diikutkan sudah boleh hasilkan album. Saya hasilkan pelbagai versi untuk sesuaikan dengan babak," katanya.

Terbaru, Amylea yang juga pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005 menyanyikan lagu berjudul Bukan Cinta, karya ciptaannya bersama Farouk yang menjadi lagu OST drama bersiri Cari Aku Di Syurga di slot Samarinda TV3.

Sebelum ini, nama Amylea memuncak apabila lagu-lagu ciptaannya seperti Tak Pernah Hilang yang pernah layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-33 dan digunakan sebagai OST drama Nur, manakala lagu Tetap Kamu sebagai OST Nur 2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 3:02 PM