SITI Saleha
SITI Saleha
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Siti Saleha, 33, menyifatkan kemenangannya sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi drama bersiri Hilang di Asian Academy Creative Awards (AACA 2023) sebagai pengiktirafan terbesar dalam kerjaya lakonannya di peringkat antarabangsa.

Siti Saleha berkata, kemenangan itu juga cukup bermakna dalam kerjaya itu yang diceburinya sejak 13 tahun lalu.

"Saya sangat gembira dan bersyukur dengan pengiktirafan yang sangat besar ini. Saya pun tak sangka menang buat kali kedua pada AACA ini.

"Kemenangan ini membuktikan segala kerja keras saya sebagai pelakon selama ini diiktiraf di luar negara sekali gus kepuasan sebagai anak seni," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut pelakon jelita berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini, kali pertama dia menang di AACA ialah kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama bersiri Black, dua tahun lalu.

"Walaupun saya tewas pada pelakon dari India pada peringkat akhir anugerah itu, ia cukup bermakna kerana dapat mewakili negara pada anugerah berprestij itu," katanya.

Mengulas lakonannya dalam drama bersiri Hilang pula, kata Siti Saleha, dia melakonkan watak Wangi yang juga gadis cacat penglihatan yang sudah ditayangkan tahun lalu.

"Watak Wangi sangat mencabar kerana bukan mudah untuk melakonkan watak orang buta," katanya.

Sempena kemenangan itu, Siti Saleha berkata, dia juga akan mewakili Malaysia untuk bersaing pada malam kemuncak AACA 2023 yang bakal berlangsung di Singapura, Disember ini.

Siti Saleha juga bakal berentap dengan calon dari India, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand.

"Ini tanggungjawab yang besar untuk saya membawa nama Malaysia. Jika tewas pun saya sudah anggap diri menang kerana dapat membawa nama negara ke peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 1:16 PM