SITI Saleha
SITI Saleha
Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Sebagai seorang profesional saya meletakkan sepenuh hati terhadap watak yang diberikan. Memang sedikit-sebanyak ada kena-mengena dengan kehidupan peribadi saya, tapi saya cuba untuk tidak menjadikannya lebih peribadi."

Demikian kata pelakon Siti Saleha mengenai hubung kait di antara kehidupan peribadinya dengan watak Doktor Suzanna lakonannya dalam drama bersiri Love in Lockdown.

Saleha yang bercerai dengan bekas suami, Ahmad Lutfi Azhar, 36, baru-baru ini berkata, dia terharu dan menghargai setiap sokongan yang diberikan kepadanya dan menyifatkan takdir tertulis untuknya adalah aturan terbaik daripada Allah.

Bercerita lanjut mengenai watak terbabit, Saleha berkata, drama bersiri arahan Mai Fernandez itu mengisahkan mengenai kesukaran yang dialami individu serta keluarga akibat pandemik Covid-19.

"Saya belum pernah membawakan watak sebagai doktor profesional. Ini adalah kali pertama saya diberikan tanggungjawab untuk memegang peranan sebagai petugas barisan hadapan.

"Berkisar mengenai penularan Covid-19, saya bertuah dengan pengalaman dapat menyelami watak dan tanggungjawab sebagai doktor yang penting ketika ini.

"Persamaan utama saya dan watak ini adalah kami sama-sama mempunyai 'passion' dengan kerja. Itu adalah apa yang dapat dikaitkan dengan kehidupan peribadi. Saya juga tidak mempunyai rujukan cuma ada menonton Meredith dalam Grey's Anatomy," katanya ketika sidang media virtual pelancaran siri Originals Pertama, Love In Lockdown, hari ini.

Dihasikan melalui kerjasama dengan syarikat produksi tempatan, Pho Sumpro, siri 10 episod ini akan ditayangkan secara eksklusif di sooka.

Selain Saleha, ia turut dibintangi Julia Farhana Marin, Shah Iskandar, Sara Mac dan Bella Rahim. Love in Lockdown boleh distrim melalui sooka mulai 20 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 4:43 PM