Fendy Caliph Buskers
Fendy Caliph Buskers
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat memaklumkan, pihaknya masih belum menerima bayaran penuh untuk persembahan berjumlah RM10,000 daripada penganjur untuk satu acara yang berlangsung di Pulau Pinang pada 9 dan 10 Disember lalu.

Azmi ketika ditemui berkata, setakat ini, pihaknya hanya menerima sejumlah kecil daripada jumlah bayaran penuh dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Setakat ini, pembayaran belum dilunaskan sepenuhnya. Mereka ada buat pembayaran, tapi, tak sampai suku pun daripada jumlah keseluruhan.

"Kami faham, acara anjuran mereka tak berjaya disebabkan masalah cuaca, lokasi dan kekurangan pengunjung.

"Tapi, sebenarnya, kalau mereka nak anjurkan acara, mereka sepatutnya ada siapkan perbelanjaan untuk pembayaran sebab kami tak terbabit dalam sebarang kerugian mereka dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, pihak pengurusannya menerima tawaran untuk Caliph Buskers membuat persembahan di acara itu atas beberapa sebab, antaranya rasa simpati dan tolak ansur.

"Sebelum ini, setiap kali ada perjanjian untuk persembahan di acara, akan ada hitam dan putih. Tapi, kali ini mungkin pihak pengurusan kami kasihan kepada penganjur.

"Lagi satu, kami pun terima sebab dah lama tak berjalan jauh untuk persembahan. Jadi, dah alang-alang acara di Pulau Pinang, dapat juga kami berjalan-jalan.

"Tambahan pula, memang setiap tahun, dalam bulan Januari tak banyak acara persembahan. Jadi, dalam perancangan kami, memang persembahan dalam bulan November dan Disember akan menjadi 'penyelamat' kami," katanya.

Tambah Azmi, pihaknya terpaksa menolak tawaran persembahan lain untuk memberi laluan kepada acara itu yang berlangsung selama dua hari.

"Bahkan, ada juga jemputan persembahan yang kami terpaksa tolak untuk memberi laluan kepada acara di Pulang Pinang ini. Kami dimaklumkan, pembayaran akan dibuat di sana (Pulau Pinang). Bila dah sampai di Pulau Pinang, baru kami tahu isu yang berlaku.

"Yang membuatkan kami bertolak ansur adalah kerana penganjur itu menceritakan semua masalah mereka sampai menangis. Jadi, rasa kesian juga walaupun jumlah yang kami belum dapat itu, agak besar dan merugikan kami," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang, Azmi berkata, setakat ini, mereka masih memberikan peluang kepada penganjur.

"Kalau ikutkan, ada rakan-rakan yang menyarankan agar kami tularkan di media sosial. Tapi, bagi kami, selagi pihak penganjur masih berhubung dan tak lari, kami masih boleh bertolak ansur.

"Sekiranya satu hari nanti, mereka tiba-tiba senyap, kami akan fikirkan tindakan yang boleh diambil selanjutnya," katanya.

Disember lalu, Harian Metro melaporkan luahan pemain dram kumpulan itu, Fendy Adlun mengenai isu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 2:45 PM