Najiy Jefri


Kuala Lumpur : "Tak payahlah 'nervous' (gementar), mama kan dah pernah menang sekali," kata anak tunggal kepada penyanyi Siti Nordiana iaitu Muhammad Rayyan Nakhaie bagi menghilangkan rasa gemuruh ibunya yang bakal bertanding dalam program All Stars Gegar Vaganza yang bermula malam ini.

Menerusi video yang dimuat naik Siti Nordiana atau mesra disapa Nana di TikTok, penyanyi itu berkongsi pantang larang dan latihan vokal sebagai persediaan sebelum program itu bermula.

Namun, apa yang mencuri perhatian ramai adalah reaksi spontan Rayyan sewaktu melihat ibunya yang melakukan latihan teknik vokal di rumah.

"Sudahlah tu makan je lah. Jiran marah nanti," kata Rayyan kepada Nana.

Dalam masa sama, Nana turut berkongsi pantang larang makanan yang tidak boleh diambil bagi menjaga suara dan stamina.

"Mama risau sebenarnya Rayyan. Gegar Vaganza dah dekat. Mama gementar," kata Nana.

Menerusi video yang dikongsikan, Nana turut mengambil peluang bertemu ibunya di Sendayan, Negeri Sembilan bagi mendapatkan restu selain menziarahi kubur Allahyarham bapanya.

All Stars Gegar Vaganza bakal bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) jam 9 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 4:01 PM