Siti Nurhaliza ketika majlis pelancaran album solo ke-20 yang berjudul Sitism. FOTO Nabila Adlina Azahari
Siti Nurhaliza ketika majlis pelancaran album solo ke-20 yang berjudul Sitism. FOTO Nabila Adlina Azahari
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Saya reda." Demikian kata penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika ditanya mengenai masalah suara yang dialaminya saat merakamkan 12 lagu dalam album ke-20, Sitism.

Siti berkata, pada ketika itu, dia reda sekiranya ditakdirkan kehilangan suara kerana bakat yang dimilikinya itu adalah hak Allah.

"Ketika saya berhadapan dengan situasi sakit tekak sebelum ini, saya fikir, mungkin Allah nak tarik sedikit bakat yang Dia berikan. Suara ini adalah aset kepada seorang penyanyi dan ia sangat bermakna.

"Rasa tertekan itu memang ada, tapi, saya tak mahu terlalu banyak berfikir. Saya selalu berfikir positif. Mungkin dalam usia sebegini, kalau Allah nak kekalkan suara saya serak seperti ketika itu, saya terima dengan reda," katanya.

Siti bagaimanapun berusaha untuk memulihkan suaranya termasuklah berdoa ketika menunaikan umrah di Tanah Suci, agar dia dapat menyempurnakan album itu.

"Namun begitu, dalam hati saya, saya berdoa supaya suara saya cepat pulih. Saya pergi menunaikan umrah pun, saya berdoa di depan Kaabah.

"Alhamdulillah, Allah dah beri kesembuhan kepada saya dan saya boleh menyanyikan semula kesemua 12 lagu dalam album Sitism dengan lancar," katanya.

Tambah Siti, dia menerima dengan hati terbuka setiap komen peminat mengenai suaranya selepas pernah dijangkiti Covid-19, yang memberi kesan kepada suara dan pernafasannya.

"Ini ingatan daripada Allah kepada saya. Insya-Allah, saya akan jaga sebaiknya.

"Memang ada kerisauan ketika masalah tekak itu melanda saya sebab dah ada beberapa persetujuan juga untuk urusan kerja.

"Saya tahu, ada peminat yang bercakap mengenai suara saya. Tapi, bagi saya, apa Allah nak bagi, Dia akan bagi. Kalau Dia nak tarik, Dia tarik.

"Album ini pun saya rakamkan mengikut kemampuan. Proses rakaman pertama berlangsung dalam bulan Ramadan dan bila tak dapat minum, suara saya jadi lebih serak.

"Jadi, bila proses kedua, saya dapat pulihkan suara saya dan ada beberapa lagu yang dirakamkan semula sebab rakaman pertama tak cukup memuaskan," katanya.

Di sesi sidang media pelancaran album Sitism yang berlangsung hari ini, Siti turut mempersembahkan 12 lagu dari album itu secara medley. Air matanya menitis ketika mempersembahkan lagu Nadiku ciptaan Min Hamzah dan Illi Diyana kerana teringatkan kedua-dua cahaya matanya.

"Bila menyanyikan lagu itu, saya menjiwai liriknya kerana lagu itu memang saya nak hadiahkan kepada dua anak saya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.

"Lebih menjentik hati saya, bila saya menyanyi tadi, saya nampak cikgu piano Aafiyah yang hadir. Memang lagi tersentuhlah jiwa keibuan saya," katanya.

Album Sitism dilancarkan dalam dua fasa dan fasa kedua adalah album lengkap, disebut sebagai Sitism (Deluxe Album) yang memuatkan 12 lagu ciptaan komposer tempatan dan dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 8:04 PM