Sudirman Mohd Tahir

Video dan gambar dimuat naik Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama anaknya, Siti Aafiyah setiap kali pulang dari program Big Stage mencuri perhatian netizen.

Walaupun waktu ketika itu hampir jam 1 pagi, Aafiyah masih berjaga menunggu kepulangan Siti.

Menurut Siti, Aafiyah yang masih menyusu badan mudah tercari-cari jika dia keluar bekerja.

“Sejak minggu pertama program ini, kalau saya pulang rumah Aafiyah mesti berjaga. Waktu itu dia memang tunggu saya untuk tidur bersama. Biasalah, semua anak kecil kalau nak tidur dia akan cari ibunya. Begitu juga dengan Aafiyah.

“Tambahan pula, Aafiyah masih menyusu jadi dia akan rindu. Lagi satu, anak akan berasa selesa jika ibunya ada sekali.

“Disebabkan itu, setiap kali habis program dan tidak ada sidang media yang memerlukan saya, saya cepat-cepat balik dan takkan tunggu lama,” katanya.

Pada masa sama, Siti yang kembali aktif dalam bidang seni selepas hampir setahun berehat berkongsi keterujaan untuk memberikan Aafiyah makanan pelengkap.

“Alhamdulillah, Aafiyah genap lima bulan pada 19 Ogos lalu. Dia penghibur dan penawar saya dan suami. Insya-Allah, tidak lama lagi dia sudah boleh makan. Sebenarnya, saya yang teruja.

“Semoga Allah SWT terus melindungi dan memberikan ‘aafiyah’ (banyak kebaikan) buat anak saya,” katanya.

Menambahkan lagi keceriaan Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K apabila ulang tahun ke-12 perkahwinan mereka pada 21 Ogos lalu disambut bersama Aafiyah.

Ia sekali gus melengkapkan kehidupan rumah tangga dibina Siti dan suami selepas sekian lama menanti.

Malah, menerusi program terbaru Ustaz Ebit Lew iaitu A Bit With Ebit yang disiarkan di TV Alhijrah pada 4 September lalu, Siti berkongsi sudah melakukan pelbagai kaedah dan rawatan dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Baik rawatan tradisional mahupun moden, semuanya sudah dicuba Siti, namun tidak berjaya.

“Sepuluh tahun itu adalah satu tempoh yang lama, tetapi saya sudah kuat kerana positif dan fikirkan yang baik saja kepada Allah. Apatah lagi saya sudah cuba macam-macam rawatan.

“Pergi berurut, buat rawatan tradisional dan juga rawatan moden. Saya sudah buat IVF lima kali tetapi tidak cerita pada orang kerana tak nak nanti orang kata itu pun nak cerita.

“Ada sesetengah cakap dan tulis, ada duit banyak pun tapi tak nak berusaha. Padahal saya sudah usaha cuma saya tak beritahu saja,” katanya.

Syafiq Farhain tarik perhatian

Mengenai pembabitan Siti dalam program realiti Big Stage selaku juri tetap bersama Faizal Tahir, banyak beranggapan penyanyi lagu Terbaik Bagimu itu ‘pilih kasih’ terhadap peserta, Syafiq Farhain berdasarkan komen diberikan.

“Ya ke? Bagi saya, dia berjaya dari segi persembahan. Dari awal hingga minggu keempat, dia buat persembahan menghiburkan dan memuaskan hati kecuali dua minggu sebelum ini. Pada minggu kelima itu, persembahannya sedikit kurang bahagian hujung.

“Minggu ini (keenam) saya boleh kesan kesilapan dilakukan menerusi lagu Mencari Cinta Sejati nyanyian asal Cakra Khan. Saya bukan sengaja nak memuji, tetapi melihat apabila seseorang artis membuat persembahan dia menepati apa yang saya suka.

“Bagi Faizal, dia ada kriteria yang setuju dan tidak. Untuk saya pula, saya komen apa yang dirasa. Jadi, itulah kenyatannya,” katanya.

Ditanya adakah selepas ini akan ada kerjasama antara Siti dan Syafiq, Siti berkata anak kepada penyanyi Saleem itu perlu melalui beberapa ‘halangan’ dahulu.

“Insya-Allah, macam saya cakap ketika memberikan komen di meja juri kalau ada rezeki dia antara artis yang ada keunikan suara yang dianugerahkan Tuhan. Jadi, kalau diberi peluang saya rasa antara artis baru yang boleh pergi jauh.

“Menerusi program ini saya melihat peningkatan yang sangat bagus untuk dia bersedia di pentas luar sana. Sepanjang enam minggu ini, saya kenal pasti dia ada masalah tempo. Jadi, dia perlu baiki lagi kelemahan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 6:59 AM