Noryn Aziz. Foto Hazreen Mohamad
Noryn Aziz. Foto Hazreen Mohamad
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Penyanyi, Noryn Aziz yang tersingkir dari program All Stars Gegar Vaganza (ASGV), semalam berkongsi mengenai pengalamannya minggu ini saat hampir kehilangan suara dan terpaksa mengambil steroid.

Noryn, 47, berkata, dia bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah yang mana, sudah mengatur perjalanannya dalam pertandingan ini dan berakhir malam semalam.

"Saya percaya rezeki itu luas dan Allah sudah tetap bahawa rezeki saya, sampai di sini sahaja. Mungkin sebab dah terlalu tertekan sangat dalam pertandingan ini, sampai saya perlu mengambil steroid.

"Baru minggu ini saya terpaksa ambil steroid. Sebelum ini, memang tak pernah. Tapi, sebab suara saya dah terlalu serak dan hampir nak hilang suara, maka, saya terpaksa ambil," katanya.

Tambah Noryn, tekanan saat berada di dalam pertandingan yang membariskan barisan bekas juara dan peserta daripada program Gegar Vaganza (GV) terdahulu itu juga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Beberapa kali juga saya berdepan dengan anxiety saat berada dalam pertandingan ini. Bahkan, tangan saya pun menggigil. Susah saya nak jelaskan sebab ada beberapa ketika, saya alami pening-pening," katanya.

Malam semalam, Noryn tampil mempersembahkan lagu Tegar secara duet bersama penyanyi, Dia Fadila.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 3:07 PM