Iedil Dzuhrie Alaudin. Foto Aziah Azmee
Iedil Dzuhrie Alaudin. Foto Aziah Azmee
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Iedil Dzuhrie Alaudin masih menyesuaikan diri dengan adat budaya isterinya Prisia Nasution yang berasal dari Indonesia meskipun sudah tujuh tahun berkahwin.

Iedil, 39, berkata Prisia memiliki susur galur keluarga yang unik dan berbeza agama.

Justeru, dia sendiri turut serta merayakan Hari Natal selain Aidilfitri sebagaimana isterinya.

"Saya memang kena sesuaikan diri dengan kebudayaan di sana. Kalau keluarga isteri saya kan agak unik. Dia setengah suku Batak dan setengah orang Jawa. Jadi, hal itu sangat baharu untuk saya.

"Ada beberapa adat yang saya kena faham, jadi menantu untuk keluarga Batak itu macam mana, Jawa macam mana. Keluarga isteri saya asal usulnya Kristian. Tapi sebelah ibunya Islam. Jadi, dia masuk Islam.

"Tapi kami tetap merayakan Hari Natal, Aidilfitri. Bagi saya itu adalah keragaman yang menarik, jarang di Malaysia. Kalau berdoa pun, boleh doa kedua-duanya. Itulah antara kebudayaan yang saya perlu pelajari di sana," katanya ditemui di sidang media pelancaran filem La Luna arahan M Raihan Halim, di Dadi Cinema, Pavilion, di sini, semalam.

Pelakon filem Malbatt: Misi Bakara itu juga mengakui dia dan Prisia masih berharap akan dikurniakan cahaya mata apalagi usia pun semakin lanjut.

"Kami memang tidak merancang pun. Kalau ada, adalah. Tapi sekarang pun memandangkan kami masing-masing pun sibuk, dia (isteri) pun sedang belajar jadi pengarah.

"Doa-doakanlah kalau bukan tahun ini, tahun depanlah. Sebab umur pun semakin bertambah. Kami memang jenis yang santai.

"Sepanjang pandemik pun kami sempat berpisah sembilan bulan sebab saya (tersekat) di Malaysia. Bila balik ke Indonesia semula, rasa macam baru mula bercinta," katanya.

Iedil sebelum ini menggunakan nama komersial Iedil Putra sebelum menukarnya kepada nama sekarang pada September 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 1:24 PM