PRISIA tiada rasa cemburu dengan kejayaan pasangan di negara sendiri.
PRISIA tiada rasa cemburu dengan kejayaan pasangan di negara sendiri.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Indonesia yang juga isteri pelakon Malaysia, Iedil Putra iaitu Prisia Nasution tidak mempunyai sebarang isu membabitkan kerjaya lakonan suaminya di dua negara.

Sejak mereka berkahwin tiga tahun lalu, tiada sebarang syarat ditetapkan terutama dalam soal gandingan dan babak dalam lakonan.

Prisia, 35, atau nama sebenarnya Prisia Wulandari Nasution berkata, dalam kerjaya mereka masih meletakkan profesional dalam bekerja.

“Kami berkenalan ketika berlakon bersama dalam filem Interchange. Jadi, selepas berkahwin kerjaya ini masih diteruskan bersama.

“Tiada syarat atau garis panduan untuk saya dan dia sebab kerjaya kami sememangnya adalah pelakon serta sentiasa profesional apabila membabitkan kerja.

“Dia boleh terima apa saja tawaran atau watak dan begitu juga saya. Kenapa perlu ada sekatan mengenai perkara itu? Bagi saya, apa yang penting adalah sikap saling memahami dan percaya antara satu sama lain,” katanya.

Prisia berkata, dia juga tidak mempunyai masalah apabila kerjaya suaminya itu kian berkembang di Indonesia.

Sebagai isteri, Prisia berbangga dengan pencapaian Iedil, malah tidak wujud rasa cemburu.

“Kenapa nak kena cemburu? Saya berbangga kerjaya lakonannya semakin berkembang dan diterima baik di sana. Itu satu pencapaian yang hebat untuknya apatah lagi dia bukan orang sana. Saya akan sentiasa mendukung kerjayanya,” katanya.

Menyentuh mengenai anak, Prisia berkata, dia tidak merancang mempunyai cahaya mata dalam masa terdekat disebabkan masih terikat dengan beberapa kontrak.

PRISIA bersama  barisan pelakon Suatukala : Timun Masa & Ijo.
PRISIA bersama barisan pelakon Suatukala : Timun Masa & Ijo.

Menurut Prisia, dia dan suaminya tidak meletakkan anak sebagai keutamaan buat masa kini namun mereka mungkin akan merancang untuk membesarkan keluarga pada tahun depan.

“Sebenarnya ada beberapa kontrak yang memerlukan saya tidak boleh mempunyai anak buat masa sekarang. Disebabkan itu, kami merancang dalam soal ini.

“Kami pun baru tiga tahun berkahwin dan mahu fokus pada karier terlebih dulu. Insya-Allah, kemungkinan tahun depan kami akan cuba untuk dapatkan anak,” katanya.

Dalam perkambangan lain, Prisia muncul filem televisyen (FTV) Suatukala: Timun Mas & Ijo yang ditayangkan di saluran Astro Eksklusif.

"Bekerja dengan pasukan dan pelakon Malaysia sesuatu yang menyeronokkan. Apatah lagi ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan produksi di sini. Semuanya okey dan kerja secara profesional.

“Dari awal sampai habis penggambaran tidak ada masalah. Sebab semuanya sudah dirancang baik.

“Cuma, sedikit cabaran apabila kena cakap dalam bahasa Malaysia secara spontan. Ketika sesi bacaan skrip tak ada, tapi di lokasi pengarah memberikan arahan baharu. Tapi, saya okey saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 4:30 AM