IEDIL Putra sentiasa mengambil ruang untuk bertemu isteri, Prisia Nasution walaupun masing-masing sibuk. FOTO Khairul Azhar Ahmad
IEDIL Putra sentiasa mengambil ruang untuk bertemu isteri, Prisia Nasution walaupun masing-masing sibuk. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syanty Octavia Amry


PELAKON Iedil Putra sentiasa bersyukur apabila rumah tangga yang dibina bersama pelakon dari Indonesia, Prisia Nasution tiga tahun lalu kekal bahagia.

Walaupun masih belum dikurniakan anak, Iedil, 34, berkata, kesibukan mereka berdua sebagai pelakon kadang-kadang menyebabkan masing-masing jarang dapat berjumpa.

Namun begitu, sikap saling mempercayai dan sentiasa mengambil ruang untuk bertemu adalah perkara yang diamalkan sehingga kini.

Malah sehingga kini, Iedil masih berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta bagi memenuhi tuntutan kerja sebagai pelakon.

“Kami berdua sentiasa sibuk dengan tawaran berlakon, pernah hampir sebulan tidak bertemu isteri di mana ketika itu saya sedang menjalani latihan teater di Jepun.

“Namun saya sering mengambil sikap setiap hari sentiasa mencintai. Sibuk macam mana pun kami akan berhubung bertanya khabar masing-masing.

“Ketika waktu sedang sibuk kami juga akan mencari ruang untuk ‘berdating’ serta menghabiskan masa bersama dan perkara ini sangat perlu dalam perhubungan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas soal anak, Iedil berkata, dia dan isteri tidak tertekan malah bersyukur keluarga sangat memahami.

“Kami percaya dengan rezeki Allah SWT, mungkin sekarang belum rezeki lagi insya-Allah satu hari nanti.

“Keluarga juga tidak pernah bertanya dan mendesak. Kami juga bersedia menerima rezeki anak bila-bila masa yang sudah ditentukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 3:29 PM