CINTA dua negara antara Iedil dan Prisia.
CINTA dua negara antara Iedil dan Prisia.
IEDIL bagai sesumpah boleh berubah ikut jalan cerita.
IEDIL bagai sesumpah boleh berubah ikut jalan cerita.
Amirul Haswendy Ashari


Setiap pelakon ada sasaran tersendiri melampiaskan bakat lakonan dimiliki. Ada mencapai pengaruh untuk empayar bisnes melalui nama dibina, ada pula kerana laparkan perhatian agar nama sentiasa diagung-agungkan dan tidak kurang sekadar berdiri kerana suka bercerita.

Bagi pelakon Iedil Putra, 32, dia berada dalam industri kerana suka bercerita. Disebabkan itu, dia tidak segigih pelakon lain yang berlumba-lumba membesarkan badan agar kelihatan ‘sado’ lantas membuatkan peminat khususnya wanita jadi tidak tentu arah.

Iedil atau Tengku Iedilzuhrie Putra Tengku Alaudin berkata, dia bersedia melakonkan apa saja mengikut kehendak skrip dan enggan ‘buat’ badan semata-mata untuk dapatkan tawaran berlakon.

“Bagi saya, penampilan seseorang pelakon itu lebih penting. Andai kata ada keperluan saya besarkan badan untuk nampak ‘sado’, saya akan lakukan,” katanya.

Belajar selama tiga tahun di London dalam bidang perubatan di Queen Mary University, Iedil akui jiwa lakonan pilihan paling tepat untuknya hingga memutuskan untuk pulang ke Malaysia dan berkarier sebagai artis serta bergelut di dunia hiburan.

Pelakon Terbaik Dari Langit itu boleh dianggap antara pelakon tempatan yang mempunyai gaya lakonan tersendiri. Hampir setiap lakonannya dalam filem dia bagaikan sesumpah.

Dia pernah jadi penari profesional dalam Showdown The Movie, jurukamera jenayah yang ada masalah jiwa dalam Interchange dan anak orang kaya berlagak dalam Pekak.

Hampir semua filem lakonannya mempunyai kualiti dan kelompok penonton tersendiri. Pendek kata, dia berlakon dalam filem yang ada nilai ilmiah untuk dibahaskan serta boleh diterima penonton tempatan waima asing.

Terbaru, dia bakal beraksi dalam filem J-Revolusi yang turut menampilkan Zul Ariffin dan Farid Kamil sebagai watak utama.

Bakal ditayangkan pada 2 Mac ini, ia adalah filem aksi pertama lakonan Iedil. Dia membawa watak Jiman, pegawai UTK (Unit Tindakan Khas) yang iri hati dengan Jay (Zul Ariffin).

Selain filem itu, Iedil yang masih dalam proses penggambaran drama Cik Serba Tahu bakal terbabit dalam satu pementasan teater yang menampilkan kru produksi dari Malaysia dan Australia.

“Judul dan jalan ceritanya masih belum boleh didedahkan tapi ia akan dipentaskan tahun ini, kemungkinan selepas sambutan Aidilfitri ini.

“Pementasan teater Nadirah di Tokyo lalu juga mendapat perhatian peminat teater di sana dan ia membuatkan saya sedikit teruja,” katanya.

Intai peluang di seberang

Tidak banyak publisiti mengenai Iedil Putra dan tiba-tiba memilih pelakon Indonesia, Prisia Nasution, 33, sebagai teman hidupnya tahun lalu.

Pasangan yang sama-sama membintangi Interchange arahan Dain Said, berkahwin secara tertutup dihadiri hanya keluarga terdekat di Bogor, Indonesia pada 1 Jun 2016.

Ini juga perkahwinan kedua Prisia selepas bercerai dengan Ananda Haris Siregar pada 4 Januari 2012.

Kini Iedil cuba meluaskan bakatnya dengan mengintai peluang di negara kelahiran isterinya. Dia juga tidak keberatan berulang-alik Malaysia dan Indonesia pandai mendapat beberapa tawaran berlakon.

Walaupun menolak dakwaan menggunakan nama isteri yang sedia dikenali di sana, Iedil akui tiada masalah andai tawaran itu untuk mereka berdua.

“Kalau ada tawaran pakej ‘suami isteri’, apa salahnya. Setakat ini, saya sudah muncul dalam beberapa telefilem dan program hiburan.

“Saya juga sudah melantik pihak pengurusan di sana untuk mengurus jadual kerja serta tawaran berlakon. Isteri ada pengurusan sendiri, jadi biarlah saya mencari pengurusan sendiri tanpa mengganggu kerjanya. Pada masa ini, masing-masing ada projek.

“Insya-Allah, filem Interchange akan ditayangkan di Indonesia pada Mac depan,” katanya gembira.

Interchange yang turut dibintangi Nicholas Saputra dan Shaheizy Sam, ditayangkan di sini pada awal Disember tahun lalu.

Mengenai pengurusan membahagikan masa antara dua negara, Iedil bersyukur kerana masih mampu mengurusnya dengan baik.

Katanya, dia tidak mahu terlalu ‘keras’ dalam menjual dirinya di Indonesia kerana percaya bakatnya pasti mempunyai ruang rezeki tersendiri di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:04 AM