Ismahalil Hamzah
Ismahalil Hamzah
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyampai radio, Ismahalil Hamzah berkongsi lebih menghargai erti kasih sayang dan kebebasan selepas dibebaskan oleh mahkamah daripada tuduhan mengedar dadah.

Ismahalil, 49, mengambil pendekatan melakukan kebaikan dan membantu rakan-rakan industri mempromosikan kerjaya seni seperti konsert.

"Saya tidak pernah cakap saya insan yang lebih baik, malah saya terlalu kerdil. Tetapi, saya lebih mendekati jemaah-jemaah tabligh, lebih belajar lebih hormat mereka.

"Lebih menghargai kebebasan, lebih menghargai kasih sayang. Ini semua terjadi kerana kasih sayang Allah. Allah sayangkan kita dan Allah yang gerakkan hati kita. Lebih mengharapkan Allah daripada mengharapkan manusia.

"Dan kita berbaik dengan semua orang. Kesempatan yang ada saya ingin membantu semua artis-artis yang buat konsert, produk kawan-kawan.

"Ketika berada di dalam penjara kita sering terpendam, jadi bila keluar ini kita cari kembangkan lagi," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi lanjut mengenai kata-kata negatif segelintir pihak mengenai pembebasannya, Ismahalil mengambil pendekatan untuk tidak mengendahkannya.

"Saya melalui proses, ini adalah proses kehakiman, pengurusan kes dan kita dah lalui ini semua. Alhamdulillah saya sudah melalui proses itu.

"Saya sudah merasa bagaimana duduk di dalam untuk cakap negatif cakap belakang-belakang ini bukan benda yang baik. Tidak bagus kita mendoakan kecelakaan sesama insan.

"Apabila kita bercakap baik, maka kebaikan itu akan tersebar. Tapi kalau mereka-mereka yang kata saya belakang-belakang itu, saya sentiasa maafkan, saya sentiasa doakan agar mereka diberi hidayah.

"Sudah-sudahlah, bercakap belakang ini kan umpama membunuh saudara sendiri, jadi tak naklah macam itu," tambahnya.

Terdahulu, Ismahalil sebelum ini terbabit dengan satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu.

Dia kemudian dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 3:10 PM