Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Lagu Coretan Pilu nyanyian Datuk Awie, Bujang (Hael Husaini), Mimpi (Haqiem Rusli) dan Purnama (Naim Daniel) antara 10 lagu pertama terpilih untuk bersaing dalam Semi Final Muzik-Muzik 36 (SFMM36).

Enam lagi lagu ialah Cinta Jangan Pergi (Azzam Sham), Chikadun (Floor 88), Lenyap (Usop), Penat (Andi Bernadee), Rindu Separuh Nyawa (Naqiu & Vanessa) dan Salahku (Yonnyboii) turut diumumkan secara langsung menerusi program Muzik-Muzik 36 TV3 oleh pengacara Alif Satar dan Sissy Imann, hari ini. 

Sebanyak 30 lagu akan dipilih memasuki peringkat separuh akhir dan pengumuman 20 lagu lagi akan dibuat secara langsung menerusi program Muzik-Muzik pada episod seterusnya iaitu 28 November dan 5 Disember ini. 

Program mingguan lagu-lagu paling popular di Malaysia ini bakal memulakan pusingan separuh akhir untuk edisi yang ke-36 pada 31 Disember depan dan 1 Januari 2022 ini.

Sementara itu, barisan artis yang terpilih melahirkan perasaan gembira apabila layak ke separuh akhir dan berterima kasih kepada pengundi mereka. 

"Saya amat menghargai peminat dan penyokong saya sehingga berjaya melayakkan lagu Salahku ini ke separuh akhir," kata Yonnyboii.

Hael pula mengakui bersyukur apabila lagunya terus diberi peluang bertanding di separuh akhir.

Manakala Naqiu dan Vanessa pula amat berpuas hati kerana gandingan menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa membawa mereka buat kali pertama dalam SFMM36.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 4:07 PM