PADUAN suara Naqiu dan Vanessa Raynauld menerusi Rindu Separuh Nyawa ternyata menjadi.
PADUAN suara Naqiu dan Vanessa Raynauld menerusi Rindu Separuh Nyawa ternyata menjadi.
Georgie Joseph


MENCARI keserasian yang padu untuk menjayakan lagu duet sememangnya bukan tugas mudah. Keserasian itulah sebenarnya menjadi intipati penting untuk menentukan nasib sesebuah lagu sama ada berhasil atau gagal.

Bagaimanapun, kerjasama sulung Naqiu dan Vanessa Raynauld menerusi Rindu Separuh Nyawa, ternyata menjadi. Naqiu, 35, dan Vanessa, 21, mungkin dua penyanyi daripada generasi berbeza.

Namun, yang menyamakan mereka tentu sekali kedua-duanya adalah artis berkaliber dan berpengalaman. Naqiu sendiri, juara program Gegar Vaganza musim keenam pada 2019, manakala Vanessa naib juara The Masked Singer Malaysia musim pertama, tahun lalu.

Mulanya ragu-ragu memikir mampukah paduan suara mereka bercantum cantik, kerisauan Naqiu bagaimanapun terlerai. Dia mengakui Vanessa adalah rakan duet yang tepat untuk lagu Rindu Separuh Nyawa.

Perbezaan karakter suara mereka juga bukan penghalang besar, bahkan sebaliknya tunas unik untuk runut bunyi drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu. Naqiu berkata, sebagai komposer dia cuba tampilkan melodi yang boleh diterima masyarakat dan kena dengan emosi lagu itu sendiri.

"Pada mulanya, saya dengan Vanessa agak kekok. Selepas beberapa jam, baharulah kami dapat keserasian. Vanessa memiliki ilmu yang baik, jadi tidak susah untuk mendapatkan keserasian serta emosi lagu itu.

"Bahagian paling susah adalah bagaimana untuk menggabungkan suara kami disebabkan nyanyian kami memiliki karakter yang sangat berbeza memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama," katanya.

Berkongsi lanjut, Vanessa pula mengakui dia paling tertarik dengan melodinya yang sangat mesra telinga. Bahkan, pertama kali dia mendengarnya, ia terus melekat di kepala. Memandangkan ia sebuah lagu duet, Vanessa juga sangat teruja kerana ingin merasa sendiri bagaimana untuk berduet dengan seseorang.

"Gabungan saya dengan Naqiu agak mengejutkan, tapi sebenarnya bagus. Pertama kali saya mendengar suara Naqiu, ia agak besar dan serak-serak basah manakala suara saya pula bernada tinggi dan lembut.

"Awalnya, saya takut suara kami tidak bersatu dengan baik. Namun selepas habis rakaman semua, rupanya gabungan suara kami menjadi. Bagi saya, tiada pun bahagian yang sukar disebabkan sangat mudah untuk bekerjasama dengan Naqiu.

"Mungkin daripada segi mencari melodi sedikit mencabar disebabkan ia lagu baharu. Namun dengan bantuan jurulatih vokal, Afif Tirmizie, dia berjaya meringankan beban itu sekali gus melancarkan proses nyanyian kami," katanya.

Tambah Naqiu, dia sememangnya meletakkan harapan tersendiri terhadap karya sentuhannya itu. Paling penting, dia ingin lagu terbabit menyerlahkan lagi kualiti muzikal dalam dirinya dan Vanessa.

"Sebagai penyanyi dan komposer lain, saya harap lagu ini mampu diterima baik dan begitu juga drama berkenaan, selain melancarkan karier saya serta Vanessa. Insya-Allah, semoga lagu ini dapat menaikkan semangat saya lagi untuk menghasilkan lebih banyak lagu pada masa akan datang," katanya.

Buat Vanessa pula, dia begitu terharu dengan peluang diberikan untuk merealisasikan impian melakukan lagu duet. Baginya, gabungan itu satu permulaan yang baik untuknya terus rancak dalam bidang muzik.

"Semestinya saya sangat berterima kasih kepada Sony Music Malaysia dan Naqiu kerana memberi peluang untuk merealisasikan lagu duet pertama saya. Diharapkan lagu ini dapat sambutan yang terbaik, diterima dengan hati terbuka dan pendengar menyukai gabungan saya bersama Naqiu," katanya.

Drama Rindu Awak Separuh Nyawa arahan Along Kamaludin ditayangkan menerusi slot Megadrama di saluran Astro Ria. Drama terbitan SR One Sdn Bhd itu dibintangi Shukri Yahaya, Uqasha Senrose, Marsha Milan Londoh, Fizo Omar, Noreen dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:46 AM