Talha bersama bekas tunang.
Talha bersama bekas tunang.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon Talha Harith menjelaskan tidak berniat untuk membuka pekung mana-mana pihak apabila berdepan situasi tunangnya memutuskan hubungan dan memilih untuk berkahwin dengan lelaki lain pada saat akhir.

Talha atau Talha Amir Harith, 34, meluahkan rasa kecewa apabila tunangnya dikenali sebagai Nur Diyana bernikah dengan lelaki lain dan perkongsian itu menjadi tular di media sosial.

"Saya bukan mahu membuka aib sesiapa. Cuma saya muat naik di Instagram sekadar perkongsian bukan juga bermakna saya tidak 'move on'. Netizen menghakimi ibarat mereka lebih memahami situasi berbanding saya sendiri.

"Selepas tujuh tahun, secara tiba-tiba dia berubah angin dan menjadi dingin. Sedangkan kami tidak bergaduh atau ada sebarang salah faham.

"Dia berubah 180 darjah dan terus meminta putus pada Mei lalu. Cuma saya ingin betulkan pelbagai andaian dibuat, contohnya seperti kami sudah bertunang selama tujuh tahun.

"Itu cuma tempoh perkenalan kami dan tali ikatan pertunangan selama tempoh setahun. Saya cuma berkongsi mengenai diri saya, jika ada yang ingin melatah dan sebagainya, terpulang," katanya kepada Harian Metro.

Selepas mengikat tali pertunangan dengan Talha pada Ogos tahun lalu, Diyana tiba-tiba berubah hati dan kembali memilih lelaki berkenaan untuk dijadikan suami.

Jelas Talha, dia turut berdepan kerugian selepas tunangnya mengambil keputusan memutuskan hubungan dan memilih untuk berkahwin dengan lelaki lain.

Terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas tunangnya itu, Talha bagaimanapun berubah fikiran selepas memikirkan kesan yang bakal diterima keluarga wanita itu.

"Saya ada terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan ganti rugi segala persiapan hantaran dan majlis kahwin.

"Tetapi saya tidak sekejam itu untuk menyaman keluarga mereka. Saya rasa kalau saya ambil tindakan, saya pun dah jadi kejam seperti mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 4:41 PM