AMERUL Affendi menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Crossroads: One Two Jaga.
AMERUL Affendi menang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Crossroads: One Two Jaga.
Amirul Haswendy Ashari.


“Alhamdulilah. Terima kasih Asean International Film Festival Awards #aiffa2019 atas anugerah ini,” kata pengarah dan pelakon, Nam Ron yang menang Pengarah Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) di Kuching, semalam.

Filem Crossroad: One Two Jaga turut meneruskan kegemilangan Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) lalu apabila membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Terbaik yang dimenangi Amerul Affendi.

“Tahniah buat seluruh pasukan OneTwoJaga, tanpa anda siapalah saya. Maaf kerana tidak dapat bersama kalian.

“Kemenangan diraikan hanya untuk sehari dua, tanggungjawab yang harus dipikul adalah selama-lamanya.

“Doakan saya agar mampu menghasilkan yang lebih baik kerana saya masih mentah dan lemah,” tulis Nam Ron di laman sosial pagi tadi.

Dia tidak dapat hadir kerana dilaporkan berada di Taiwan sejak Khamis lalu.

Anugerah Filem Terbaik dimenangi filem asal Filipina yang mengisahkan kisah benar sebuah keluarga sekitar tahun 90-an berjudul Signal Rock lakonan Christian Bables dan Keanna Reeves arahan Chito S Rono.


Kristoffer King atau nama sebenar Christopher Reyes dari Filipina yang meninggal dunia akibat sakit misteri pada Februari lalu menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem berjudul Kristo.

Mendiang menewaskan dua pelakon Malaysia yang turut tercalon dalam Top 5 kategori sama iaitu Remy Ishak (filem Pulang) dan Dr Rosdeen Suboh yang menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik FFM30 lalu.

Manakala Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi pelakon Indonesia, Raihaanun menerusi filem berjudul ‘27 Steps of May’.

Lebih 100 filem dari 10 negara Asean bertanding dalam sembilan kategori AIFFA 2019 yang berlangsung tahun ini.

Berikut barisan pemenang AIFFA 2019:

Filem Terbaik: Signal Rock (Filipina).

Pengarah Terbaik: Nam Ron/ Crossroads: One Two Jaga (Malaysia)

Pelakon Lelaki Terbaik: Kristoffer King/Kristo (Filipina)

Pelakon Wanita Terbaik: Raihaanun/27 Steps of May (Indonesia)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Amerul Affendi/ Crossroads: One Two Jaga (Malaysia)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Barbara Miguel/1-2-3 (Gasping for Air) (Filipina)

Lakonlayar Terbaik:Leon Le, Nguyen Thi Minh Ngoc/Song Lang (Vietnam)

Sinematografi Terbaik: Na Gyi/Mi (Myanmar)

Penyunting Terbaik: Wawan I. Wibowo/ Ave Maryam (Indonesia)

Anugerah Khas Juri: Hari Minggu Yang Ke 4 (Brunei).

Anugerah Khas Juri: Bad Genius (Thailand).

Anugerah Khas Semangat ASEAN: Rina 2 (Brunei dan Laos).

Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Slamet Rahardjo (Indonesia).

Anugerah Khas Inspirasi: Steven Seagal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 1:10 PM