Oleh Rabi Atul Adawiyah Ismail

Kuching: `Terbaik Dari Langit’ daripada Malaysia menerima Anugerah Filem Terbaik dalam Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA), di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Dalam acara penuh gilang-gemilang itu turut menyaksikan pelakon Bront Palare menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan berkesannya dalam filem Terbaik Dari Langit.

Buat julung kalinya, Anugerah Inspirasi ASEAN diperkenalkan dan menjadi milik Datuk Jackie Chan.

Bagi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menjadi milik pelakon Filipina, Cherie Gil melalui filem Sonata.

Watak berkesannya dalam filem Yasmine membolehkan Nadiah Wahid memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki terbaik milik Sok Sothun dari Cambodia dalam filem The Last Reel.

Sementara itu, filem Indonesia, Soekarno arahan Ben Sihombing diangkat sebagai Lakon Layar Filem Terbaik, manakala pengarah filem Joseph Laban dari Filipina menerima Anugerah Pengarah Terbaik melalui filem arahannya Nuwebe.

Bagi Anugerah Fotografi Terbaik milik Dang Xuan Truong daripada Vietnam dalam filem Inseminator, manakala Anugerah Suntingan Filem Terbaik milik Benjamin Tolentino dari Filipina melalui filem Bendor.

Penganjuran AIFFA kali kedua ini turut menyaksikan pelakon Filipina, Nora Ainor menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Lebih 200 selebriti, artis dan penggiat seni dari serata ASEAN berkampung selama tiga hari di Kuching untuk menobatkan karya, pelakon dan pengarah terbaik membabitkan 14 kategori yang dipertandingkan.

Festival yang bertemakan AIFFA Movies and Networking Inspire Asean (AIFFA MANIA) membariskan lima juri yang membuat penilaian karya terbaik iaitu U-Wei Saari (Malaysia), Philip Cheah (Singapura), Pantham Thongsang (Thailand), Phan Dang Di (Vietnam) dan Latika Padgaonkar (India).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 12:10 AM