Georgie Joseph


BAND Cigarettes After Sex (CAS) dari El Paso, Texas, Amerika Syarikat (AS) sukar disamakan dengan mana-mana band lain. Bunyi, hala tuju dan konsep muzik ditampilkan jelas hanya milik mereka sendiri.

Walaupuin peminatnya pasti terlalu 'niche' dan CAS mungkin bukan gah namanya dalam muzik arus perdana, tetapi penangan mereka luar biasa. Keunikan karyanya mudah meresap dalam jiwa pendengar. Bertandang ke Kuala Lumpur semula baru-baru ini, band dianggotai Greg Gonzalez selaku penyanyi dan pemain gitar, Randall Miller (bass) dan Jacob Tomsky (dram) sentiasa dinantikan peminat di sini.

Ribuan hadir memenuhi lokasi konsertnya di Zepp Kuala Lumpur yang berlangsung dua malam. Berdurasi selama sejam setengah, mereka tetap berjaya meninggalkan kenangan indah buat penonton.

"Kami sangat gembira dapat kembali ke Malaysia. Kami sentiasa teruja membuat persembahan di sini," ringkas saja kata Gonzalez sebagai selingan pada konsert malam pertama.

Kalau ikutkan, tiada ada apa yang menarik pada pementasan untuk persembahan mereka. Latar belakangnya kosong dan gelap. Manakala lampu limpah dihalakan kepada mereka bertiga.

NYANYIAN Gonzalez sangat mengasyikkan.
NYANYIAN Gonzalez sangat mengasyikkan.

Namun, yang membuatkan penonton seperti dipukau adalah lagu mereka. Betapa magisnya karya mereka sehingga masing-masing hanyut dalam fantasi sendiri menterjemah lirik setiap lagu nyanyiannya.

Vokal Gonzalez menjadi instrumen terpenting menghidupkan suasana. Suaranya ibarat mimpi yang membuatkan pendengar merasa berada di awang-awangan dengan suasana damai dan tenang.

Sesekali kedengaran juga sahutan penonton mengiringi nyanyiannya untuk lagu yang liriknya mereka hafal. Namun, kebanyakan masa lebih kepada hening yang berlagu.

Kadang tidak sedar dan leka dengan nada nyanyian serta mainan muzik mereka yang lembut. Tidak payah pun menampilkan nada tinggi atau menjerit, sudah cukup membuai rasa penonton.

Pada konsert kali ini, CAS mempersembahkan lagu Crush, You're All I Want, Nothing's Gonna Hurt You Baby, Pistol, John Wayne, Neon Moon, Cry, Falling in Love, Sweet, Heavenly, K, Opera House, Sunsetz dan Apocalypse.

Semestinya Apocalypse menjadi lagu paling kuat sorakannya dan ditunggu. Rata-rata menyanyi bersama lagu itu menjadikan suasana menjadi lebih riuh berbanding sebelumnya.

Ditubuhkan pada 2008, CAS terus bergerak kukuh dan mengumpul jutaan peminat seluruh dunia. Mereka juga sangat laku dan jadi rebutan pelbagai festival muzik terkemuka dunia.

Konsert CAS Live in Kuala Lumpur itu dibawakan penganjur Hello Universe Malaysia.

PEMINAT CAS di Malaysia sangat kukuh.
PEMINAT CAS di Malaysia sangat kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 6:20 AM