TETAP bertenaga meskipun Padi Reborn sudah 25 tahun dalam industri.
TETAP bertenaga meskipun Padi Reborn sudah 25 tahun dalam industri.
Georgie Joseph


Ikoniknya nama Padi atau kini Padi Reborn, kumpulan rock dari Indonesia itu tidak disangkal antara band terhebat pernah wujud.

Sejak ditubuhkan pada 1998, namanya tetap utuh dan terus bersinar.

Sewaktu mencipta nama awal-awal dulu, Malaysia juga menjadi persinggahan pertama mereka di luar Indonesia untuk tujuan promosi. Sejak itu, 'kubu' peminatnya dikenali Sobat Padi terus kukuh di sini.

Buktinya, kehadiran lebih 2,500 penonton pada Konsert 25 Tahun Padi Reborn di Zepp, di sini Sabtu lalu, petanda bahawa legasi mereka diikuti pelbagai lapisan umur peminat. Hakikatnya, ramai peminat 'otai' hadir malam itu.

Dianggotai Ari Tri Sosianto atau Ari yang bermain gitar dan vokal tambahan, Andi Fadly Arifuddin atau Fadly (vokal), Surendro Prasetyo atau Yoyo (dram), Rindra Risyanto Noor atau Rindra (bass), dan Satriyo Yudi Wahono atau Piyu (gitar, vokal tambahan), mereka jelas terharu melihat sokongan yang diterima.

Semestinya, ia menjadi momen teristimewa. Padi Reborn meraikan kerjaya muzik mereka selama 25 tahun dengan menghiburkan sehabis baik peminat di sini. Jelas, setiap saat dihargai mereka pada malam itu.

Menurut Piyu, sebuah ruang istimewa buat Sobat Padi Malaysia memang akan sentiasa kekal terpahat di hati mereka. Peminat di sini jadi tulang belakang terpenting buat mereka sejak awal kemunculan dulu.

"Di kesempatan ini, kami berasa sangat terharu kerana sambutan sangat luar biasa. Mungkin selepas kita 'berpuasa' sejenak, berhibernasi selama hampir tiga tahun, kami tidak dapat bertemu Sobat Padi.

"Namun, kini menjadi kenyataan kami boleh bertemu kamu semula. Kami masih ingat sebagai band, negara luar yang kami jejak adalah Malaysia dan ia terjadi pada tahun 2000," katanya.

Piyu mengimbau betapa segar di ingatan, kenangan cukup bermakna ketika itu sebagai artis baharu diperkenal di Malaysia. Mereka tidak akan lupa sokongan diterima baik peminat mahupun industri muzik di sini .

"Kami hadir untuk promosi album pertama dan tinggal selama dua minggu di sebuah apartmen, bukan hotel ya. Kami dapat buat promosi di radio, TV, surat khabar, dan media besar lain kerana sosial media belum wujud ketika itu.

"Tentunya, kami menyimpan kenangan yang sangat luar biasa. Tapi yang pasti energi peminat Malaysia juga memang luar biasa. Selama 25 tahun berkarya dalam muzik, banyak sekali kami ingin sampaikan buat peminat," katanya.

Pada konsert anjuran Qew Communications Sdn Bhd atau Qew Comm itu, atmosfera konsertnya memang tersendiri. Padi Reborn tidak perlu set pentas yang gah, cukup sekadar mempersembahkan lagu-lagu hit mereka.

Paling ketara, malam itu menjadi lebih istimewa dengan kehadiran rata-rata penonton berusia. Dalam kalangan ramai itu, mereka pastinya peminat tegar yang sudah setia mengikuti perjalanan band terbabit sejak era 1990-an.

PENAMPILAN Datuk Sheila Majid turut menggamatkan suasana.
PENAMPILAN Datuk Sheila Majid turut menggamatkan suasana.

Keterujaan dan tenaga yang dipamerkan penonton golongan berusia itu tidak kalah dengan penonton lebih muda. Dari lagu pertama, tiada lagu yang membuatkan penonton tak nyanyi bersama.

Demikian juga band terbabit bersungguh menyalurkan sepenuh jiwa terhadap setiap lagu. Momentumnya disusun rapi membuatkan perjalanan konsert tidak sesaat pun bertukar membosankan.

Corak nyanyian Fadly juga semestinya antara paling jadi bualan malam itu. Pada usia menjengah separuh dekad, stamina serta gemersik suaranya masih sama seperti awal kemunculan dulu.

Lebih bermakna, konsert itu turut mendapat sokongan ramai rakan artis dari Malaysia. Antara yang hadir termasuk Amy Search, Nabila Huda, Ezad Lazim, Zarul Umbrella, dan ramai lagi.

Sekali gus membuktikan bahawa legasi dicipta Padi Reborn sememangnya bukan calang-calang. Tinggi sanjungan yang mereka raih daripada industri muzik nusantara, bahkan artis terkenal kita pun peminat mereka.

Sewaktu selingan mereka menukar pakaian, sebuah klip ucapan sempena ulang tahun ke-25 disiarkan daripada rakan artis turut menggamatkan suasana.

Antara yang menitipkan ucapan meskipun tidak hadir pada malam itu, termasuk Misha Omar, Slank, Noah, Ari Lasso, dan ramai lagi.

Turut menggamatkan suasana juga semestinya penampilan Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid sebagai penyanyi jemputan. Sheila sendiri akui cukup terharu dengan undangan itu.

"Banyak-banyak band rock, saya sangat tak sangka Padi Reborn sudi menjemput saya," katanya.

Sheila muncul sewaktu kumpulan itu mendendangkan lagu berhantu mereka, Kasih Tak Sampai. Raut wajah Fadly mempersilakan Sheila muncul di pentas ketika itu memang tampak sangat berbesar hati.

Selain menyanyikan lagu berkenaan, Sheila pula 'mencabar' Padi bergandingan menyanyikan lagu popularnya Antara Anyer Dan Jakarta. Elemen rock dan jazz ditampilkan memang begitu indah kedengaran.

Bersempena ulang tahun ke-25, Padi Reborn menyanyikan kira-kira 25 lagu keseluruhannya pada malam itu. Ada antaranya lagu yang memang lebih popular di Malaysia berbanding digemari di negara mereka sendiri.

Ia termasuk Bayangkanlah, Sang Penghibur, Sesuatu Yang Indah, Menanti Sebuah Jawaban, Ternyata Cinta, Tempat Terakhir, Mahadewi, Seandainya Bisa Memilih, Semua Tak Sama, Jangan Datang Malam Ini, Terbakar Cemburu, Patah, dan Seperti Kekasihku.

Tidak ketinggalan, lagu Rapuh, Lain Dunia, Harmoni, Mencari Alasan, Perjalanan Ini, Sahabat Selamanya, Sobat, Hitam, dan Begitu Indah.

Selain itu, Padi Reborn juga sempat dendangkan beberapa lagu kesukaan mereka dari Malaysia secara spontan iaitu Alasanmu nyanyian asal Exist serta Isabella (Search).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 6:00 AM