Nor Azlina (empat dari kanan) bersama Didie Alias dan anaknya serta menantu ketika pelancaran Temu Jelatek Event Space di Datum Jelatek. FOTO AZIAH AZMEE
Nor Azlina (empat dari kanan) bersama Didie Alias dan anaknya serta menantu ketika pelancaran Temu Jelatek Event Space di Datum Jelatek. FOTO AZIAH AZMEE
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon, pengacara dan pelawak, Didie Alias, 52, bersyukur dan terharu apabila majlis perkahwinan anaknya, Muhammad Dhanial yang akan berlangsung 2 September ini mendapat tajaan bernilai RM500,000.

Didie atau nama sebenarnya Nur Fadzillah Ali berkata, dia terkejut apabila Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd, Nor Azlina Amran menawarkan hadiah itu kepadanya.

"Rezeki ini diperoleh kerana berkat Dhanial menjaga arwah bapanya, Ridzuan Hashim sejak mula sakit sehingga meninggal dunia pada 4 Mei lalu.

"Saya sangat terharu dan bersyukur apabila pengendali dewan, Temu Jelatek The Event menawarkan tempat ini untuk mengadakan majlis kenduri sambut menantu di sini.

"Sebenarnya saya, Dhanial dan adik beradiknya berkunjung ke rumah sewa Ridzuan untuk kemas barangan peribadi arwah baru-baru ini. Tak dinafikan arwah memang seorang yang rapi dan pembersih.

"Dhanial nampak satu sut dalam almari dan cuba pakai dan kebetulan memang sesuai untuk badannya. Dia pun ambil keputusan untuk pakai semasa majlis kenduri yang akan diadakan di sebelahnya di Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka anaknya akan menggayakan sut milik Ridzuan itu dalam majlis itui nanti.

"Dhanial pun terkejut kerana katanya dia bukan siapa-siapa. Saya katakan inilah rezekinya kerana berbakti kepada bapanya sehingga akhir hayat.

"Tajaan itu juga sangat membantu kerana kos untuk majlis perkahwinan bukanlah murah kerana harga barangan semua meningkat.

"Semasa majlis sebelah perempuan di Tawau, Sabah, banyak kos saya keluarkan untuk tiket kapal terbang, pengangkutan, penginapan dan makan. Nasib baiklah saya dah biasa anjurkan acara, jadi saya dapat rancang dengan baik," katanya.

Muhammad Dhanial dan Nur Khairunnisa Zulkifli melangsungkan pernikahan pada 20 Mei lalu.

Dalam pada itu, Didie juga bercadang mengadakan kelainan pada majlis nanti di mana pasangan pengantin diarak menaiki LRT dari stesen Setiawangsa ke stesen Jelatek bersebelahan dewan berkenaan.

"Saya mahu orang ramai tahu lokasi tempat kahwin ini strategik dan boleh diakses menerusi pengangkutan awam.

"Saya juga dah pesan kepada Dhanial dan isterinya supaya jangan buat hal hamil dulu. Tapi kalau benda dah jadi apa salahnya. Tiada masalah pun," katanya bergurau.

Terdahulu, Allahyarham Ridzuan yang juga pelakon popular meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4 Mei lalu iaitu kira-kira dua minggu sebelum pernikahan Dhanial.

Selain Dhanial, 29, perkahwinan Ridzuan dan Didie pada 1991 sebelum bercerai pada 2002, dikurniakan empat lagi anak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 11:23 AM