Dhanial memakai sut milik arwah bapanya pada hari persandingan.
Dhanial memakai sut milik arwah bapanya pada hari persandingan.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Anak kepada pelakon Didie Alias, Muhammad Dhanial Mohd Ridzuan, 29, memilih untuk memakai sut milik arwah bapanya yang juga pelakon, Allahyarham Ridzuan Hashim di majlis persandingannya yang berlangsung malam tadi. 

Dhanial yang kini bergelar suami kepada Nur Khairunnisa Zulkifli berkata, sut berwarna kelabu itu ditemukannya ketika sedang mengemas pakaian milik ayahnya dan tidak menyangka ia muat dan warnanya sesuai tema. 

"Saya tak jangka bahawa dia ada pakaian yang sesuai dengan warna tema yang Mommy sudah susun. 

"Kemudian, selepas saya kemas almarinya, saya ternampak sut ini. Rasanya, ini adalah sut yang dia pakai ketika berlakon dalam drama Kuasa.

"Sejujurnya, bila saya sarung sut ini, saya dapat rasakan seperti ayah saya ada dengan saya," katanya kepada Harian Metro. 

Dhanial dan isteri sebelum itu muncul di dewan acara dengan menaiki LRT dan turun di Stesen LRT Jelatek. 

"Itu adalah idea daripada Mommy sendiri. Jadi saya dan isteri menaiki LRT dari Stesen LRT Setiawangsa ke Stesen LRT Jelatek. 

"Lagi pula, kami mendapat kerja sama daripada pihak Stesen LRT Jelatek dan juga Datun Jelatek yang menaja lokasi untuk acara hari ini. 

"Secara tak langsung, ini juga untuk mempromosikan bahawa pusat membeli belah ini boleh diakses menggunakan LRT," katanya. 

Daniel juga turut menitiskan air mata saat video kejutan yang dibuat oleh adik-beradiknya ditayangkan dan turut menampilkan kenangan bersama ayah mereka.

Sementara itu, Didie berkongsi rasa syukur atas kelancaran majlis pada malam ini yang juga penutup untuk majlis resepsi anak lelakinya itu. 

"Alhamdulillah, saya dah boleh menarik nafas lega kerana semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua keluarga, rakan-rakan, penaja dan semua yang sudi memeriahkan majlis ini," katanya. 

Antara kejutan lain di majlis yang mendapat tajaan lebih RM500,000 itu adalah persembahan oleh Didie yang menyanyikan lagu Kaulah Segalanya. 

Turut membuat persembahan adalah barisan artis antaranya, Mark Adam, Lah Ahmad serta gandingan pengacara majlis, Ieda Moin dan Along Cham. 

Dhanial dan Khairunnisa berkahwin pada 20 Mei lalu, selepas industri hiburan dikejutkan dengan berita pemergian Ridzuan pada 4 Mei lalu. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 8:16 AM