Syafiq bersama barisan pelakon Polis Evo 3
Syafiq bersama barisan pelakon Polis Evo 3
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Filem aksi, Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof boleh mencatat kutipan 'box office' sehingga RM100 juta sebagaimana kejayaan besar Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sekiranya penonton filem tempatan terus memberikan sokongan padu dan permintaan berterusan di pawagam.

Apatah lagi, dalam tempoh 12 hari tayangan, filem membariskan pelakon berkaliber seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam dan Sharnaaz Ahmad itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung terkini sebanyak RM41.3 juta.

Sam yang melakonkan watak Inspektor Khai berkata, dia sangat terharu dengan sokongan diberikan penonton tempatan terhadap filem Melayu.

Katanya, dia tidak sangka penonton kita sanggup mencetus fenomena menolak filem luar untuk ditonton dan memilih Polis Evo 3.

"Alhamdulillah syukur dan perasaan saya begitu terharu dengan sokongan diberikan penonton terhadap filem Polis Evo 3 yang setakat ini sudah mencatat kutipan RM41.3 juta. Saya melihat rakyat Malaysia kini memberi sokongan padu kepada karya tempatan.

"Mereka sanggup tolak untuk menonton filem dari luar dan menyokong Polis Evo 3 yang saya akui tidak disangka mampu mencatat kutipan sejauh ini. Malah, sebanyak tiga naskhah filem Polis Evo saya terbabit, sentuhan Syafiq yang ini agak sempurna," katanya kepada Harian Metro.

Filem Polis Evo 3
Filem Polis Evo 3

Ditanya jangkaan kutipan Polis Evo 3 mampu mencecah RM100 juta, Sam berkata, kalau ada rezeki tidak mustahil. Katanya, setakat ini pun apa yang diketahui ramai juga penonton ke pawagam menonton secara berulang.

"Bagi saya, tidak mustahil untuk filem Polis Evo 3 mencatat kutipan sehingga RM100 juta kalau sudah rezeki daripada Allah. Malah, saya berterima kasih kepada penonton yang menyokong filem ini hingga fenomena walaupun saya tahu ekonomi sekarang tidak menentu," katanya.

Sharnaaz yang melakonkan watak 'villain' atau antagonis sebagai Reza pula berkata, dia melihat positif terhadap penerimaan baik penonton pada filem tempatan, meskipun masih berada di takuk pembelajaran dan peningkatan.

"Saya gembira kerana penonton masih percaya pada filem kita lagi walaupun filem kita ini masih di takuk pembelajaran dan peningkatan. Jadi, kalau rakyat Malaysia sendiri tak bagi peluang, kita takkan maju.

"Tapi, sekarang ini Alhamdulillah rakyat Malaysia dah mula bagi peluang, justeru kepada semua pembikin filem tempatan, ini adalah peluang untuk kalian buktikan kalau sanggup keluarkan bajet lebih sedikit buat filem berkualiti, insya Allah rakyat akan terima.

"Itu pun kalau jalan cerita dan kualitinya seiring dengan harga. Bukan main selit-selit saja," katanya mengakui tidak berasa sudah mempersembahkan lakonan terbaik dan masih terus belajar lagi.

Sharnaaz berkata, dia melihat lakonannya dalam Polis Evo 3 itu masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

Katanya, dia juga melihat pengalaman membintangi filem berkenaan sebagai peluang belajar dari kesilapan.

Filem Polis Evo 3 terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Cinemas itu turut dibintangi pelakon lain seperti Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Terdahulu, watak 'villain' Polis Evo bernama Izrail mengangkat pelakonnya, Hushairi Husain sebagai pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28.

Manakala, pelakon Hasnul Rahmat menerusi watak Saif iaitu karakter 'villain' Polis Evo 2 berjaya dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-30.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:01 PM