KUALA LUMPUR 08 MEI 2023. Pelakon Polis EVO 3 bersama perbit, pengarah dan teramu kerhormat pada Malam Gala Filem Polis Evo 3 di TGV KLCC. NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA LUMPUR 08 MEI 2023. Pelakon Polis EVO 3 bersama perbit, pengarah dan teramu kerhormat pada Malam Gala Filem Polis Evo 3 di TGV KLCC. NSTP/ASWADI ALIAS.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Tujuh hari tayangan rasmi dan satu hari tayangan awal, filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Cinemas, Polis Evo 3 kini berjaya mengaut kutipan RM25 juta. 

Ia sekali gus mengatasi kutipan 'box office' Polis Evo 2 iaitu RM23 juta dalam tempoh 44 hari. Terdahulu Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara , Raja Jastina Raja Arshad berkata, kutipan Polis Evo 3 sudah memecah rekod kutipan keseluruhan Polis Evo 2 dalam tempoh satu minggu. 

"Momentum positif ini memperlihatkan prestasi yang lebih pantas. Terima kasih kepada semua yang sudah menonton filem Polis Evo 3 di pawagam. 

"Tambah mengujakan, kami turut menerima maklum balas daripada penonton yang mengulang tonton Polis Evo 3. Kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa sokongan semua. 

"Kami akan terus fokus dalam memantapkan aktiviti pemasaran agar filem Polis Evo 3 dapat dinikmati oleh penonton dari pelbagai latar, kerana kami percaya filem ini menepati cita rasa penonton Malaysia," katanya. 

Menurutnya, kehadiran Sharnaaz Ahmad menerusi watak antagonis bernama Reza dengan lakonan mantap dan meninggalkan kesan berjaya menarik perhatian ramai untuk menonton filem ini. 

Terdahulu, watak 'villain' Polis Evo bernama Izrail telah mengangkat pelakonnya, Hushairi Husain sebagai pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28.

Manakala, pelakon Hasnul Rahmat menerusi watak Saif iaitu karakter 'villain' Polis Evo 2 berjaya dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-30.

Filem Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 9:50 PM