POSTER Polis Evo 3.
POSTER Polis Evo 3.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Filem aksi kepolisan, Polis Evo 3 yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 25 Mei lalu, kini mencatat jumlah kutipan RM45 juta.

Bintang utamanya, Shaheizy Sam berkongsi rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan penonton untuk filem tempatan arahan pengarah Syafiq Yusof itu.

"Perasaan saya, sangat terharu di atas sokongan penonton. Dari situ, kita tahu bahawa penonton masih memberikan kepercayaan tinggi kepada filem tempatan.

"Setiap pembikin filem tempatan juga akan mula memberikan lebih nilai dan akan meningkatkan kualiti filem yang dihasilkan," katanya kepada Harian Metro.

Sam juga mengajak pencinta filem tanah air untuk menonton filem di pawagam memandangkan kualiti bunyi dan nilai sinematik yang dihasilkan di pawagam, berbeza berbanding di rumah.

"Kepada penonton, saya harapkan sokongan daripada anda. Mungkin ramai yang tak sedar bahawa sebenarnya pengalaman menonton film di pawagam itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan menonton filem di rumah.

"Secara teknikal, sistem bunyi yang dihasilkan untuk sesuatu filem selalunya disesuaikan untuk tayangan di pawagam. Dalam bahasa yang lebih mudah, bunyinya lebih sedap didengar.

"Getaran yang akan dirasakan juga menjadi berbeza saat menonton filem di pawagam. Jadi apabila filem itu sudah 'masuk' ke rumah, bunyinya sudah jadi lain.

"Jadi, rasakan getaran dan kualiti filem di pawagam itu sendiri di samping nilai-nilai sinematik yang ada. Bawa keluarga untuk menonton dan anda takkan lupa akan pengalaman menonton film di pawagam," katanya.

Sam juga berharap agar kehadiran filem ini akan mendapat sokongan berterusan daripada penonton.

"Harapan saya adalah supaya sokongan terus diberikan oleh penonton kepada Polis Evo 3. Saya bangga kerana kita sebenarnya mampu menandingi filem dari luar negara sekiranya terus menerus mendapat sokongan," katanya.

Selain Sam, Polis Evo 3 juga membariskan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Zizan Razak, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 4:04 PM