Mimi Lana
Mimi Lana
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon, Mimi Lana yang disahkan positif Covid-19 sejak enam hari lalu mengalami kesan kesakitan yang teruk. 

Mimi berkata, dia berasa sakit satu badan hingga sesak nafas.

"Gejala yang saya alami sangat teruk. Bermula dengan satu badan yang sakit, rasa macam tulang semua dipatah-patahkan sampai tak tahu nak duduk posisi apa, sejuk menggigil, kahak berdarah, berpeluh-peluh sehingga sesak nafas yang sangat teruk. 

"Apa yang paling teruk, tahap oksigen saya menurun sehingga 85 dan saya sangat panik," katanya.

Mimi menerusi hantaran di Instagram berkata, dia juga cuba menghubungi beberapa hospital, namun berdepan situasi mencemaskan apabila ditolak kerana kebanyakan hospital terlalu ramai dengan pesakit. 

"Saya cuba hubungi banyak hospital, tapi kebanyakannya sudah penuh sebab sekarang, memang banyak sangat kes dan mereka tak terima pesakit disebabkan katil penuh. 

"Cuma ada sebahagian hospital yang masih terima untuk rawatan oksigen sekiranya betul-betul kecemasan. Sekarang, baru saya faham betapa sakit dan susahnya nak hadapi penyakit ini," tulisnya. 

Dia yang beberapa kali menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 bagaimanapun bersyukur kerana keadaannya kini bertambah baik. 

"Saya sudah banyak kali menjadi kontak rapat, tapi tak pernah disahkan positif. Cuma kali ni nasib tak menyebelahi saya. 

"Tapi, Alhamdulillah saya berasa semakin pulih, cuma masih ada batuk, sakit tekak dan selesema sikit. Harapnya, saya akan sembuh dalam beberapa hari lagi," tulisnya. 

Mimi juga meminta pengikutnya yang positif supaya tidak panik dan terlalu banyak berfikir untuk mengelakkan situasi menjadi lebih teruk. 

"Kepada yang sedang lalui perkara sama, saya doakan awak semua cepat pulih dari penyakit ini. Terus kuat dan lawan. 

"Kalau sesak nafas, jangan panik, buat latihan pernafasan perlahan-lahan, banyakkan duduk, jangan baring sahaja. Jangan banyak fikir. Kalau betul-betul teruk, minta bantuan, okay. 

"Teruskan kongsi perkembangan keadaan anda kepada orang tersayang. Minum banyak air dan makan ubat. Fikir positif bahawa ini hanyalah sementara, okay," tulisnya. 

Mimi juga memohon mereka yang sihat untuk sentiasa bertanggungjawab sekiranya ada sebarang gejala. 

"Kepada yang sihat belaka, sila jalankan tanggungjawab anda sekiranya ada gejala dan tolong kuarantin. Kalau kontak rapat, tolong asingkan diri untuk beberapa hari. 

"Ya, vaksin membantu tapi semuanya bergantung kepada sistem umunisasi tubuh kita. Badan kita kan lain-lain. 

"Jaga prosedur operasi standard (SOP), kebersihan, pakai pelitup mulut dan itu paling penting. Janganlah bila dah terlalu gembira, sampai lupa yang kita masih belum menang," tulisnya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 7:21 PM