Datuk Ramli Sarip
Datuk Ramli Sarip
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Jaga diri. Maaf cakap bukan saya baik, tapi nasib saya baik. Saya kerja dekat kelab dari usia belasan tahun. Satu bir (arak) pun saya tak pernah rasa. Ini kerana ayah saya ingatkan begitu. Saya budak kampung. Saya kerja dekat bar. Perempuan memang bersepah, minum arak dan macam-macam,"

Itu kata Datuk Ramli Sarip menjawab persoalan penjagaan kesihatan dan kecergasan suara pada usianya 70 tahun sekarang.

Ramli berkata, niatnya semata-mata mahu bermain muzik saja tanpa memikirkan perkara lain.

"Itu satu benda dan rasanya doa ibu ayah itu penting dalam hidup. Itu yang saya selalu pesan kepada generasi muda, anak-anak muda, ada ayah dan ibu berbaktilah kepada mereka," katanya ditemui selepas konsert Syair Timur di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, malam tadi.

Dalam persembahan ini, Ramli bersama pemuzik pengiringnya, Soul Journey berjaya memberikan persembahan mantap dan bertenaga serta menghiburkan dalam tempoh satu jam.

"Saya rasa masa seperti tak cukup. Tapi disebabkan kita dah konsepkan Syair Timur, jadi kita tak boleh masukkan macam-macam.

"DFP adalah satu lambang antarabangsa dan tak boleh dinafikan apabila buat persembahan di sini, kita rasa kita lebih dihargai.

"Saya masih pegang pada prinsip DFP mesti kekal hebat. Ia dari pemilihan artis, persembahan dan pemilihan lagu mesti hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 12:00 PM