ANNE (duduk dua dari kanan) bersama penganjur dan barisan artis yang terbabit dalam Festival Terbesar Kedah All In One.
ANNE (duduk dua dari kanan) bersama penganjur dan barisan artis yang terbabit dalam Festival Terbesar Kedah All In One.
Ridzuan Abdul Rahman

Sesibuk mana pun dengan karier sebagai pelakon, Anne Abdullah tetap tidak melupakan peranannya sebagai Presiden Transformasi Anak Seni (GTAS).

Pelakon drama Lara Aishah ini tidak pernah merungut penat walaupun terpaksa berkejar ke lokasi penggambaran dan kemudian mencuri masa untuk bermesyuarat dengan pelbagai pihak bagi menggerakkan GTAS.

Hasilnya, Anne berjaya mencari banyak peluang membantu hampir 80 ahlinya yang terdiri daripada anak seni yang aktif berniaga.

“Syukurlah kerana sudah banyak peluang niaga yang GTAS wujudkan antaranya dalam festival jualan yang dianjurkan di sekitar Kuala Lumpur.

“Pada September lalu, GTAS melangkah ke peringkat antarabangsa apabila terbabit dengan Pameran dan Persidangan Muslim World Biz Ke-8 di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) yang turut mengumpulkan hampir 300 peniaga luar negara,” katanya.

Terbaru, GTAS bekerjasama dengan Ten Buddy Event pula bagi penganjuran Festival Terbesar Kedah All In One yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar pada 28 November hingga 3 Disember ini.

Festival ini diadakan bertujuan mengumpulkan seberapa ramai usahawan dan peniaga tempatan untuk sama-sama menjana ekonomi negara.

Lebih 100 usahawan dianggarkan terbabit menyertai acara yang menggabungkan tiga festival utama yang diadakan secara berasingan sebelum ini iaitu Festival Selebriti, Festival Makanan Antarabangsa dan Festival Kedah Cergas.

“Kami menjanjikan festival ini bakal dibanjiri barisan selebriti tanah air di bawah GTAS untuk turun padang berniaga.

“Mereka yang terbabit ialah Cat Farish, Zakiah Anas, Nadia Kesuma, Sheila Hassan, Zul Huzaimi, Mak Wan, Roza, Shikin Dangdut, Safura, Liza Abdullah, Lisdawati dan saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, ini satu peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan peminat di utara untuk datang bertemu artis serta membeli barangan yang dijual.

“Saya berharap pembabitan GTAS dapat menarik perhatian pengunjung, selain membantu mereka mempromosikan perniagaan yang diusahakan.

“Artis yang terbabit pula sememangnya aktif berniaga. Menerusi kerjasama ini, mereka mendapat ruang berniaga dan dalam masa sama mampu menjadi tarikan kepada pengunjung untuk sama-sama memeriahkan festival ini,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Festival All In One, Roshairi Roslan; Timbalan Pengerusi Festival All In One, Hasril Rizal Ismail dan Ahli Jawatankuasa Festival All In One, Mohd Zaidi Ahmad serta artis yang terbabit antaranya Zakiah Anas dan Liza Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 1:58 PM