Faizal Hussein pada program Viu Together Gather @ Pavilion KL dan majlis buka puasa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Faizal Hussein pada program Viu Together Gather @ Pavilion KL dan majlis buka puasa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: Pelakon senior, Faizal Hussein, 56, mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran untuk menjayakan video berkonsepkan iklan raya sebuah jenama terkemuka baru-baru ini kerana bayarannya tidak berbaloi.

Menurut Faizal, dia bukannya 'demand' atau meletakkan harga yang tinggi untuk setiap video iklan raya yang dijayakannya.

"Saya tolak tawaran dari buat video iklan jenama makanan bertaraf antarabangsa itu kerana harga yang ditawarkan lebih rendah dari jenama tempatan.

"Bagi saya cara itu tidak betul dan kita perlu mengajar mereka. Contohnya, jika jenama tempatan bayar saya sehari RM10,000, takkanlah jenama bertaraf antarabangsa itu bayar saya harga yang sama dan sepatutnya perlu lebih tinggi dari itu,"katanya kepada Harian Metro.

Ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather yang berlangsung di sebuah hotel, Jalan Bukit Bintang di sini, malam tadi, Faizal berkata, dia juga banyak buat iklan raya yang menggunakan platform media sosial sebelum Ramadan lagi.

"Sebenarnya, trend ramai artis yang buat iklan raya di platform media sosial ini sudah bermula sejak beberapa  tahun lalu.

"Apa yang penting, mesej yang hendak disampaikan menerusi iklan itu pada penonton seperti kasih sayang, bapa yang sudah lama tidak bertemu dengan anaknya dan sebagainya,"katanya.

Mengulas mengenai video iklan rayanya yang memilih pakaian bersama isteri, Suhaila Sulaiman,44, di sebuah gedung pakaian terkenal yang tular dan mencuri perhatian warganet pula, kata Faizal, ia adalah video yang dijayakannya dua tahun lalu.

"Video itu sudah lama dan baru tular sekarang mungkin kerana orang tidak perasan sebelum ini.

"Mungkin ketika itu, ada banyak lagi video iklan yang paparkan tema subjek yang lebih menarik.

"Apapun, video iklan saya bersama isteri itu memang menghiburkan sebab itu ia tular sekarang," katanya.

Terdahulu, gelagat Faizal memilih pakaian Hari Raya untuk isterinya, Suhaila di sebuah gedung pakaian terkenal mencuri perhatian warga net. 

Menerusi TikTok, dipaparkan video berkonsep program Who Wants To Be A Millionaire di mana Suhaila mencuba pakaian dan bertanyakan pendapat Faizal pakaian yang digayakannya itu.

Bang okey tak baju ni? Baju ni buat saya nampak gemuk tak?," tanyanya. 

Seorang kanak-kanak lelaki yang melakonkan watak anak pasangan ini kemudian menasihatkan Faizal agar bijak memberi jawapan yang sesuai supaya ibunya tidak bertukar menjadi 'singa'

Video berkonsepkan iklan hari raya yang dimuat naik itu meraih lebih 1.3 juta tontonan dan 65,000 tanda suka.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 11:46 AM